mutakhir

Ramuan menang

Oleh Mohd Nasif Badruddin

Kuala Lumpur: Dua ramuan utama untuk memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) sekali gus menjadikan UMNO dan Barisan Nasional (BN) sebagai parti masa depan yang mampu menarik golongan belia.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, untuk menjadi parti serta kerajaan masa depan bukan saja memerlukan visi jelas sebaliknya memberi tawaran baik kepada golongan belia.

“Ramuan pertama, kita perlu satu mesej segar khas untuk orang muda, sebab itu dalam penulisan Manifesto Barisan Nasional (BN) untuk PRU14 nanti, kami memohon ada satu tawaran baru untuk orang muda.

“Sebuah tawaran menepati cita rasa dan keperluan anak muda Malaysia. Biarlah tawaran ini memberi keyakinan kepada orang muda UMNO-BN memahami kebimbangan dan keresahan mereka.

“Biarlah tawaran ini mencorakkan masa depan yang lebih baik untuk mereka menjana pekerjaan pendapatan tinggi, tidak meninggalkan belia luar bandar yang mungkin tidak ke menara gading atau belum bersedia merebut peluang ekonomi digital, menyediakan perumahan,” katanya.

Menerusi ucapan penggulungan Perhimpunan Agung UMNO 2017 (PAU2017), Khairy berkata, biarlah itu menjadi tawaran BN untuk orang muda pada pilihan raya nanti.

“Ramuan kedua adalah menonjolkan rupa bentuk parti masa depan. Mungkin di sini soal rupa bentuk ini selalu dikaitkan dengan calon muda, calon baru. Lebih-lebih lagi ini ucapan dari Ketua Pemuda. Namun, seperti saya pernah kata tiga tahun dulu, rupa bentuk yang segar ini boleh datang dalam pelbagai cara.

“Tetapi, kini tahun 2017, biarlah calon yang kita kemukakan menepati cita rasa 2017, sebab kita tahu pengundi tidak lagi hanya pandang lambang. Zaman letak songkok, songkok menang sudah lama lalu. Sekarang ini, calon itu manifestasi kepada presiden dan parti,” katanya.

Beliau berkata, kemenangan PRU14 memerlukan kepelbagaian dalam calon supaya parti dilihat kontemporari dan bermaksud gandingan muka baru dan orang lama.

Menurutnya, ia tidak sama sekali bermakna semua calon muka baru tetapi gandingan daripada dua generasi menghasilkan barisan mantap.

“Bagaimanapun, ini semua keputusan Presiden (Datuk Seri Najib Razak). Pemuda berikrar apa saja keputusan Datuk Seri (Najib), kami akur sepenuhnya kerana apa yang penting akhirnya bukan kita, tetapi kemenangan UMNO dan BN,” katanya.

Khairy berkata, pertaruhan untuk PRU14 kali ini sangat besar, ia soal keberlangsungan dan masa depan bangsa serta negara.

“Justeru, Pemuda mendokong sebenar-benar erti pejuang. Yang langkahnya gagah hanya ke depan, semangat waja tak gentar lawan bara nafasnya, bijak akalnya, bila dicabar berani berkorban, biar bercerai nyawa dari badan.

“Kali ini kita berjuang, langkah terus ke depan. Kali ini kita berjuang, pastikan musuh tumbang, kali ini kita berjuang, UMNO akan terus menang,” katanya.

Disiarkan pada: December 10, 2017 @ 4:50am
d