mutakhir

Hayati konsep Get Out The Voters

Oleh Mohd Nasif Badruddin

Kuala Lumpur: Jangan libas sesama sendiri. Ingatan itu diberikan Naib Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi kepada semua ahli parti, sebaliknya memberi sepenuh tumpuan untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) akan datang.

Beliau yang menjalankan tugas-tugas Timbalan Presiden tidak mahu ada ahli parti yang merajuk atau tersentap hati jika tidak terpilih menjadi calon selain menuntut sokongan padu kepada sesiapa saja yang terpilih kelak.

Menurutnya, sebarang permasalahan dan pertikaian dengan parti komponen akan dibawa ke dalam perbincangan Dewan Tertinggi Barisan Nasional (BN) atas dasar permuafakatan dan kompromi.

“Ia termasuk isu pemilihan calon. Saya ingin memaklumkan, bahawa Program Naziran yang diterajui Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berjalan lancar, dalam menilai tahap kesiapsiagaan jentera di semua peringkat Pusat Daerah Mengundi (PDM).

“Tidak cukup dengan itu, kita juga harus pastikan semua sasaran kerusi yang ingin kita retain and regain akan tercapai. Kita tidak mahu yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran,” katanya ketika berucap pada sesi penggulungan Naib Presiden pada Perhimpunan Agung UMNO.

Ahmad Zahid berkata, beliau cukup yakin seorang lagi Naib Presiden Datuk Seri Hishammuddin Hussein dapat meletakkan suatu penanda aras (KPI) yang tinggi, terhadap semua PDM yang didedahkan dengan Manual Operasi Pilihan Raya.

Beliau juga meminta jentera UMNO juga perlu memastikan setiap pengundi di PDM terutama ahli parti dan komponen keluar menunaikan tanggungjawab pada hari pengundian.

“Dalam mendepani PRU-14, Conflict Resolution Committee(CRC) yang diilhamkan penubuhannya oleh Presiden, untuk menyelesaikan segala permasalahan yang wujud, baik di peringkat Parlimen, mahupun DUN, harus diselesaikan sebelum pembubaran Parlimen.

“Konsep Get Out The Voters (GOTV) perlu dihayati dan dilaksanakan dengan komitmen yang tinggi setiap ketua PDM di seluruh negara. Pelaksanaan GOTV perlu ada piawaian gerak kerja yang membuahkan hasil yang ditetapkan. Persoalan ini bukan hanya untuk jentera UMNO saja, malah ia meliputi semua parti komponen BN,” katanya.

Menurutnya, beliau juga sudah mengadakan pertemuan semua jentera dan sayap setiap negeri dan mendapati tahap keyakinan mereka amat tinggi untuk memastikan kemenangan.

“Saya ingin memberi jaminan Presiden, bahawa kita sudah bersedia sepenuhnya. Apabila gendang perang itu dipalu, kita akan bertempur serentak sederap bersama panglima kita,” katanya.

Disiarkan pada: December 10, 2017 @ 4:57am
d