mutakhir

Kepingin sejak kecil

Oleh Garret Dawum

Kuala Lumpur: Keterujaan melihat kereta klasik dipandu di jalan raya ketika kecil membuatkan usahawan, N Sathya, 46, sanggup berhabis puluhan ribu demi memiliki kereta itu.

Katanya, kereta klasik pertama dimiliki adalah Fiat 600D buatan 1967 dan dibeli 10 tahun lalu daripada rakan dengan harga RM5,000.

“Saya turut membelanjakan lebih RM10,000 untuk mencantikkan kereta itu termasuk mengganti kusyen, mengecat dan menukar komponen lain.

“Selain itu, saya juga membeli buku bagi memahirkan diri serta menambah pengetahuan berkenaan kereta itu,” katanya pada Jelajah Kereta Lama 2017 di Muzium Negara, semalam.

Kereta milik Sathya antara yang menarik perhatian pengunjung kerana menjadi model paling lama dipamerkan selain keunikan saiznya yang kecil.

Sathya berkata, dia sangat sayang dengan kereta itu kerana menghabiskan masa dua tahun lapan bulan untuk menjadikan ia lebih menarik dan baru.

“Kereta ini pernah memenangi tempat pertama sempena pameran klasik Alfa Romeo Melaka dan tempat ketiga ketika pameran kereta klasik di Langkawi.

“Langkawi lokasi paling jauh saya memandu dengan kereta ini yang mengambil masa sembilan jam,” katanya yang turut memiliki Fiat 127 keluaran 1979.

Sementara itu, penganjur Jelajah Kereta Lama 2017, Ami Rizal Ismail, 42, berkata, 40 kereta klasik dipamerkan pada program itu membabitkan kereta buatan 1995 dan ke bawah.

“Antara kereta yang dipamerkan ialah Toyota, Datsun, Volvo, Fiat dan Proton. Pemilik kereta ini juga ada yang datang dari Johor Bahru, Pekan, Temerloh dan Kuala Selangor.

“Jelajah ini mendapat kerjasama Muzium Negara dalam usaha menyedar dan memperkenalkan kepada orang ramai berkenaan peranan kereta lama yang mungkin tidak diketahui.

“Malah, jelajah ini juga memupuk semangat cintakan sejarah khususnya dalam menghargai kereta lama,” katanya memberitahu bakal mengadakan jelajah sama di Muzium Diraja dan Muzium Automotif.

Disiarkan pada: December 10, 2017 @ 6:07am
d