mutakhir

Jering rebus resepi ibu

Oleh Hazira Ahmad Zaidi

JERING mungkin kurang diminati kerana pahit dan berbau, namun seorang peniaga di Kota Bharu mampu menjual ulam itu sehingga 30 kilogram sehari.

Hasnah Mamat, 41, berkata jering rebusnya mendapat sambutan kerana dihasilkan dengan resepi keluarga.

Susulan itu, dia bukan saja terpaksa mendapatkan bekalan jering daripada pembekal tempatan, malah dari Thailand setiap hari.

Hasnah yang menjual jering rebus di Pasar Siti Khadijah sejak 20 tahun lalu, berkata bagi mengekalkan rasa dan aroma jering rebus, dia menggunakan resepi arwah ibunya, Nik Jah Jenal.

Ibu kepada tiga anak itu berkata, jering direbus bersama daun pandan, daun limau purut dan abu kayu api selama tujuh jam sehingga benar-benar masak.

“Abu kayu digunakan untuk menghilangkan bau serta menjadikan warnanya lebih cantik.

“Hanya jering tua boleh digunakan kerana isinya kenyal dan tidak mudah hancur apabila direbus.

“Jering sudah direbus boleh bertahan seminggu jika direndam dalam air dan disimpan dalam peti sejuk” katanya yang menjual ulam itu dengan harga RM2 untuk 12 hingga 15 keping.

Menurutnya, jering rebusnya mendapat sambutan menggalakkan daripada masyarakat setempat dan pelancong.

"Jering rebus enak dimakan bersama kelapa muda parut yang dicampur dengan gula dan garam ," katanya.

Disiarkan pada: December 10, 2017 @ 6:48pm
d