mutakhir

5,000 sertai Perhimpunan Daulat Tuanku

Oleh HM Digital

Shah Alam: Kira-kira 5,000 peserta terdiri daripada pemimpin politik, ahli pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan orang awam menyertai Perhimpunan Daulat Tuanku yang diadakan di Dataran Mayang, Seksyen 16 di sini, semalam.

Penasihat program, Tan Sri Noh Omar berkata, perhimpunan itu bertujuan menzahirkan rasa kesal serta mengutuk sekeras-kerasnya kenyataan biadap bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang kini ahli DAP, Datuk Zaid Ibrahim.

“Kenyataan Zaid sangat biadap serta kurang ajar malah secara terang-terangnya menghina Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

“Di dalam laman Twitter miliknya mengatakan, ‘Sultan Selangor seharusnya lebih berhati-hati dengan kata-katanya. Tidak ada sesiapa yang kebal apabila negara terbakar’,” katanya ketika berucap pada perhimpunan itu, semalam.

Noh yang juga Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) berkata, perhimpunan itu turut sebulat suara menyelar kenyataan mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang menghina bangsa Bugis ketika berucap di Padang Utama, Petaling Jaya, beberapa bulan lalu.

“Kami berhimpun hari ini, bagi mewakili rakyat negeri Selangor, menzahirkan dokongan tanpa berbelah bagi kedaulatan institusi Raja-Raja Melayu selaras dengan Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Tubuh Negeri Selangor 1959.

“Kenyataan ini sangat mengguris dan menghina seluruh lapisan rakyat negeri Selangor dan menimbulkan kemurkaan Sultan Selangor.

“Maka dengan itu kita akan hantar satu deklarasi kepada Sultan Selangor di Istana Bukit Kayangan pada Selasa ini,” katanya.

Beliau berkata, antara isi kandungan deklarasi berkenaan adalah Zaid dan Mahathir digesa untuk memohon maaf secara terbuka kepada Sultan Selangor.

“Kita juga menuntut untuk kerajaan negeri tidak membenarkan Zaid dan Tun Dr Mahathir berucap di mana-mana kawasan dan premis kerajaan negeri,” katanya.

Disiarkan pada: December 11, 2017 @ 6:43am
d