mutakhir

Agih RM100j dividen

Oleh Siti A’isyah Sukaimi

Kuala Langat: Dividen Interim 2/2017 berjumlah RM101.48 juta diagihkan kepada 70,856 peserta FELCRA Berhad menerusi 781 Projek Penyatuan dan Pemulihan (P&P) di seluruh negara.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, agihan dividen itu hasil daripada projek tanaman sawit dan getah terdiri daripada tanah kerajaan dan milik peserta dengan keluasan 97,280 hektar serta dibayar mulai hari ini.

Katanya, secara purata setiap peserta menerima bayaran RM3,000 dan ia bergantung kepada beberapa keadaan iaitu usia pokok, kesuburan tanah selain keluasan tanaman.

“Keuntungan bersih daripada penyata untung rugi bagi bulan berakhir sehingga September lalu berjumlah RM171.22 juta dan agihan dibuat dua kali dengan Interim 1/2017 diagihkan pada Jun lalu membabitkan RM69.74 juta.

“Lazimnya, tempoh bayaran dibuat berdasarkan kesesuaian musim seperti Interim 1 (Aidilfitri) manakala Interim 2 (persekolahan) bagi memberi kegembiraan kepada peserta di samping membantu mereka,” katanya pada Majlis Pengisytiharan Agihan Dividen Interim 2/2017 Peserta FELCRA Berhad di sini, semalam.

Hadir sama, Pengerusi FELCRA Berhad Datuk Bung Mokhtar Radin.

Ismail Sabri berkata, jumlah pendapatan diperoleh daripada sawit dan getah sehingga September lalu adalah RM819.93 juta manakala perbelanjaan dalam bentuk kos operasi, khidmat pemasaran dan caj pengurusan adalah sebanyak RM413.85 juta.

“Keuntungan kasar ladang diperoleh sehingga September lalu sebanyak RM406.07 juta dan selepas ditolak potongan wajib seperti bayaran balik hutang Kerajaan Persekutuan, hutang kerajaan negeri, tabung tanam semula serta lain-lain potongan, keuntungan bersih boleh diagihkan sebanyak RM101.48 juta,” katanya.

Disiarkan pada: December 11, 2017 @ 8:29am
d