mutakhir

Tiga bom lama tentera

Oleh HM Digital

Kuantan: Seorang kontraktor yang memantau kawasan lapang di belakang stesen minyak di Jalan Semambu, di sini, tergamam apabila menemui tiga bom lama, jam 9 pagi kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kuantan Asisten Komisioner Abdul Aziz Salleh berkata, susulan penemuan bahan letupan itu, kontraktor terbabit menghubungi Balai Polis Kuantan untuk meminta bantuan.

“Sepasukan anggota daripada Unit Pemusnah Bom (UPB) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang bergegas ke lokasi kejadian untuk membuat siasatan,” katanya.

Beliau berkata, polis mengesahkan bahan letupan itu milik tentera yang digunakan untuk mengadakan latihan ketenteraan.

Bahan letupan berkenaan juga disahkan tidak berbahaya selain didapati tidak aktif.

Abdul Aziz berkata, polis mengambil keterangan berhubung penemuan tiga bahan letupan itu daripada kontraktor berkenaan.

Dalam perkembangan lain, tujuh lelaki yang dipercayai penagih dadah ditahan dalam empat operasi berasingan di sekitar bandar ini, kelmarin.

Operasi itu dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan, Balai Polis Panching, Balai Polis Jaya Gading dan Unit Risikan Jenayah (URJ) IPD Kuantan.

Abdul Aziz Salleh berkata, turut ditahan tiga lelaki selepas didapati memiliki air ketum yang dipercayai untuk diedarkan kepada pelanggan di sekitar bandar ini.

Disiarkan pada: December 11, 2017 @ 9:32am
d