mutakhir

Muntah susu tiruan

Oleh Izlaily Nurul Ain Hussein

Senai: Aduan diterima sebuah syarikat pengeluar susu rumusan bayi berhubung seorang bayi muntah teruk apabila menggunakan susu keluaran mereka empat bulan lalu, membongkar aktiviti penjualan susu disyaki tiruan di negeri ini.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Johor dalam pemeriksaan dan serbuan Khamis lalu, merampas 210 kotak susu rumusan bayi yang disyaki tiruan.

Dalam Operasi Produk Tiruan dijalankan jam 12 tengah hari di lima premis kedai ubat-ubatan dan kedai serbaneka di Iskandar Puteri, Mutiara Rini, Taman Orkid, Nusa Bestari dan Taman Daya itu, tiga daripada lima premis itu didapati menjual susu rumusan bayi (langkah satu) terbabit pada harga sama dengan yang asli.

Pengarah KPDNKK Johor Khairul Anwar Bachok berkata, hasil siasatan mendapati lima premis itu adalah rangkaian perniagaan dimiliki syarikat berdaftar yang sama dan pemilik semua premis perniagaan iaitu lelaki berusia 50-an itu mendakwa tidak sedar kehadiran kotak susu disyaki tiruan berkenaan.

“Kita menerima aduan daripada pengeluar susu berkenaan selepas mereka mendapat satu kes seorang bayi muntah teruk akibat menggunakan susu jenama itu.

“Selepas empat bulan risikan dibuat, serbuan dan pemeriksaan dijalankan mendapati kotak susu disyaki tiruan ini dijual dan dicampur dengan yang asli pada rak jualan.

“Harga jualannya juga sama dengan pek asli iaitu RM200 bagi setiap pek,” katanya ketika sidang media di Stor KPDNKK di sini, semalam.

Beliau berkata, hasil rampasan semua kotak susu dianggar bernilai RM42,000 dan kini pihaknya masih menunggu laporan dari Jabatan Kimia sekurang-kurangnya dua minggu bagi mengesahkan kandungan sebenar semua susu yang dirampas.

“Berdasarkan maklumat dari pengeluar, mereka mengesyaki kandungan susu itu adalah tiruan dan mereka sendiri dapat mengecam perbezaan susu keluaran mereka walaupun pada luaran pek itu ia kelihatan sama dengan yang asli.

“Cuma ada perbezaan pada paket dalaman kotak susu itu yang mana potongan pek yang asli adalah rata, manakala yang disyaki tiruan potongannya bergerigi.

“Hasil siasatan awal juga mendapati invois ditemui di premis itu menggunakan nama dan alamat syarikat palsu bagi mengelirukan pihak berkuasa,” katanya.

Khairul Anwar berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 8 (2) Akta Perihal Dagangan 2011 dan pemilik premis terbabit ditahan dan diambil keterangan sebelum dibebaskan.

Katanya, pihaknya percaya susulan rampasan itu dapat melumpuhkan kegiatan penjualan dan pengedaran produk susu tiruan di Johor.

Disiarkan pada: December 11, 2017 @ 9:48am
d