mutakhir

Damailah sahabat...

Oleh Amran Yahya

Kuala Pilah: Abu Bakar Osman, 64, yang bertanggungjawab menjaga sahabat baiknya, Abdul Khalid Abdul Majid, 56, di surau lama di Kampung Angga Bisa, Gachong, menahan sebak sebelum linangan air mata membasahi pipi sebaik mengetahui rakannya meninggal dunia, kelmarin.

Kerinduan jelas terpancar di wajah Abu Bakar apabila Abdul Khalid menghembuskan nafas terakhir di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang, Selangor akibat kanser usus.

Abu Bakar berkata, biarpun arwah sudah tiada dia bersyukur sahabatnya dipertemukan semula dengan ahli keluarga selepas 10 tahun terpisah.

“Biarpun hanya seminggu, saya bersyukur arwah dapat berjumpa semula adik-beradiknya. Sebagai seorang rakan, saya doakan dia ditempatkan dalam kalangan orang beriman,” katanya sebak.

Menurut Abu Bakar, sejak mempelajari ilmu agama di surau itu pada 2007, arwah tidak pernah membuka mulut untuk bertemu anggota keluarga.

“Dia sekadar bercerita mengenai bekas isteri termasuk dua anak perempuan. Pada masa sama, kami cuba menjejaki keluarganya di Alor Gajah, Melaka tetapi gagal,” katanya.

Sehinggalah pada awal Oktober lalu, tahap kesihatan Abdul Khalid kian meruncing sebelum pihaknya memutuskan untuk menyiarkan kisahnya di akhbar ini.

“Alhamdulillah, selepas dua hari kisah Abdul Khalid disiarkan Harian Metro, keluarga Abdul Khalid datang menjemput. Dia juga meninggal dunia sisi keluarga,” katanya.

Menurutnya, dia mengetahui kematian Abdul Khalid jam 9 pagi kelmarin selepas dimaklumkan rakan.

“Ketika itu saya sebak, rindu dan sayu. Arwah sahabat yang baik dan dia seperti adik kandung sendiri,” katanya.

Disiarkan pada: December 11, 2017 @ 10:03am
d