mutakhir

Dituduh terima sogokan RM2,800

Oleh Muhammad Apendy Issahak

SARJAN polis didakwa di Mahkamah Sesyen Ipoh, hari ini, atas lima pertuduhan menerima rasuah bernilai RM2,800 pada Jun 2015.

Ahmad Saliman Jamian, 55, didakwa menerima suapan wang tunai daripada beberapa individu sebagai dorongan melakukan perbuatan bertentangan hal ehwal prinsipalnya.

Dia dituduh menerima rasuah untuk membeli makanan dan rokok kepada tahanan dalam lokap, membebaskan tahanan lokap dan tidak mengambil tindakan menahan individu yang mempunyai kes jenayah.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu pada 26 dan 29 Jun 2015 ketika bertugas sebagai pegawai penyiasat di Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping.

Ahmad Saliman yang tidak diwakili peguam bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan dan minta dibicarakan.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Wahida Jalaluddin di hadapan Hakim Murtazadi Amran.

Nurul Wahida meminta mahkamah mengenakan jaminan sebanyak RM25,000 bagi semua lima pertuduhan dengan seorang penjamin.

Tertuduh merayu jaminan minimum kerana tidak mempunyai wang atau simpanan yang banyak.

Hakim Murtazadi membenarkan tertuduh dijamin sebanyak RM12,000 dengan seorang penjamin dan 15 Januari depan sebagai sebutan semula kes.

Disiarkan pada: December 11, 2017 @ 1:09pm
d