mutakhir

Santos Samsul, denda RM20,000, makan dedaklah kau

SEORANG buruh kasar warga Indonesia dipenjara dua hari dan didenda RM20,000 oleh Mahkamah Sesyen Tawau, Tawau hari ini, atas dua pertuduhan selepas mengaku bersalah menawarkan rasuah RM100 serta RM300 kepada anggota Pasukan Polis Marin (PPM), November lalu.

Santos Samsul, 27, didakwa atas dua pertuduhan mengikut Seksyen 17 (b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana menawarkan rasuah terhadap anggota PPM untuk melepaskan seorang rakannya yang ditahan kerana tidak memiliki dokumen pengenalan diri.

Hakim Abu Bakar Manat memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara sehari dan denda RM10,000 bagi setiap satu pertuduhan, dan penjara sebulan bagi setiap pertuduhan, jika gagal membayar denda berkenaan.

Mengikut pertuduhan, Santos datang dari Tawau ke Pangkalan PPM Semporna untuk membantu kawannya, Alvin Rudi, yang ditahan kerana tidak memiliki dokumen pengenalan diri antara 12 tengah hari hingga 5.17 petang, pada 22 November lalu.

Tertuduh berjumpa dengan pengadu dan menawarkan suapan RM100 dan RM300 untuk melepaskan rakannya yang ditahan, sebelum pengadu membuat aduan kepada Pejabat SPRM Tawau seterusnya menyerahkan suspek kepada SPRM pada 23 November lalu.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwaan SPRM Awang Samsul Baharom Bungso dan Timbalan Pendakwa Raya Rustam Sanip manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah kemudian menjatuhi hukuman penjara dua hari bermula hari ini dan denda RM20,000 bagi dua pertuduhan berkenaan.

Disiarkan pada: December 11, 2017 @ 1:37pm
d