mutakhir

Mahu gembirakan ibu bapa, dunia dan akhirat

Oleh Mohamad Zulhairie Manzaidi

BERSEKOLAH biasa tidak menghalang seorang pelajar tingkatan empat untuk bergelar hafiz malah remaja itu aktif menyertai kelas tahfiz yang dianjurkan sekolahnya demi mengejar cita-cita itu.

Muhammad Sabri Zahari, 16, yang belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Geting, Tumpat berkata, Kelas Tahfiz Ar-Razi yang dianjurkan pihak sekolah banyak membantunya menghafaz al-Quran.

Katanya, dia sudah boleh menghafaz enam surah sejak menyertai program itu yang menjadi sebahagian daripada aktiviti kokurikulum untuk pelajar yang menetap di asrama.

Surah itu ialah As-Sajdah, Al-Mulk, Al-Waqiah, Yassin dan Al-Jumaat selain Juzuk 'Amma.

"Sebaik mendengar pihak sekolah menganjurkan kelas tahfiz, saya dengan rela hati menawarkan diri kerana sudah lama memasang niat untuk menghafaz al-Quran.

"Peringkat permulaan, memang rasa malas, namun sebaik dapat mengingati satu daripada enam surah pilihan, saya berasa seronok dan semakin bersemangat.

"Ibu bapa saya paling seronok apabila saya beritahu mahu mendalami al-Quran dan impian saya untuk menggembirakan mereka dunia serta akhirat," katanya ketika ditemui selepas Program Ihtifal Tahfiz Ar-Razi di Dewan Bunga Raya, Pantai Sri Tujoh, Tumpat, hari ini.

Majlis perasmian dan penyerahan sijil penghargaan program itu disempurnakan Ahli Dewan Undangan Negeri Pengkalan Kubor (ADUN) Mat Razi Mat Ail.

Sementara itu, Pengetua SMK Geting Noor Azlina Omar berkata, Kelas Tahfiz Ar-Razi berlangsung tahun ini hasil cetusan pihak sekolah bersama Mat Razi.

Beliau berkata, menerusi peruntukan diberikan ADUN itu sebanyak RM10,000 setahun, membolehkan pihak sekolah melahirkan 48 bakal hafiz dan hafizah.

"Kita buka program ini kepada pelajar tingkatan satu hingga lima yang menetap di asrama dan syaratnya mereka perlu khatam al-Quran.

"Untuk tahun ini, kita berjaya kumpulkan 48 pelajar dan Insya-Allah akan cuba tambah pelajar lagi tahun mendatang," katanya.

Disiarkan pada: December 11, 2017 @ 4:12pm
d