mutakhir

Bilo mung nak tobat?

Oleh Helmy Abd Rahman

LIMA kali menjalani hukuman penjara masih tidak mampu membuatkan bekas banduan serik apabila dia sekali lagi dicekup di rumah di Kampung Bukit Payong, Marang, semalam kerana disyaki mengedar dadah selepas hampir enam bulan selesai menjalani hukuman penjara buat kali kelima atas kesalahan sama.

Bagi kesalahan terakhir sebelum ini, suspek berusia 42 tahun dikenakan hukuman penjara 10 tahun dan 13 sebatan mengikut Seksyen 39A (2) sebelum dibebaskan Jun lalu.

Ketua Polis Daerah Marang Deputi Superintendan Mohd Suhaimi Ali berkata, dalam serbuan kira-kira 7.30 pagi semalam, polis menemui dan merampas beberapa jenis dadah yang disorokkan di rumah sewa suspek dan Perodua Myvi miliknya.

Katanya, hasil pemeriksaan di dalam rumah, polis menemui dua beg plastik warna biru berisi 390 biji pil disyaki pil kuda yang dianggarkan bernilai RM3,900; 10 keping foil berisi pil disyaki jenis Eramine 5 berjumlah 100 biji (RM1,500) dan empat paket plastik lutsinar berisi ketulan kristal disyaki syabu bernilai RM11,749.50.

"Menerusi pemeriksaan di dalam kereta pula, polis menemui dua bungkusan kertas pembalut dibungkus plastik yang mana setiap satunya mengandungi 10 paket plastik biru berisi 4,000 biji disyaki pil kuda bernilai RM40,000 pada pintu bahagian pemandu.

"Polis juga menemui lima bungkusan akhbar yang setiap satunya berisi 10 botol plastik cerah bertudung kuning mengandungi serbuk putih disyaki dadah jenis heroin dengan anggaran nilai rampasan sebanyak RM5,009 yang disorokkan di ruang bawah stereng," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Marang di sini, hari ini.

Beliau berkata, nilai rampasan keseluruhan berjumlah RM87,158.50 termasuk wang tunai sebanyak RM10,000.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan suspek ditahan reman sehingga 16 Disember ini untuk siasatan lanjut," katanya.

Disiarkan pada: December 11, 2017 @ 5:24pm
d