mutakhir

'Beli susu dari pengedar sah sahaja'

Oleh Mary Victoria Dass

KEJAYAAN pihak berkuasa membongkar penghasilan dan penjualan susu rumusan bayi tiruan kelmarin, ternyata menimbulkan kebimbangan pengguna.

Ketua Biro Pengaduan Kebangsaan Persatuan Pengguna Bijak Malaysia, Mark Chew Yong Song berkata, pihaknya kecewa dan gusar dengan kewujudan susu rumusan bayi disyaki tiruan berkenaan seperti dilaporkan media.

Beliau berkata, kes seumpama itu banyak berlaku di China kebelakangan ini namun ia adalah yang pertama didedahkan di Johor.

Lebih membimbangkan, ia boleh mendatangkan risiko terhadap bayi dan mengganggu tumbesaran serta mengancam nyawa.

"Jika betul susu rumusan bayi itu tiruan, pihak berkuasa seharusnya menjalankan siasatan dan memandang serius perkara berkenaan dengan mengheret pihak terbabit ke muka pengadilan," katanya.

Mark berkata, pihaknya juga menasihati pengguna supaya lebih berhati-hati ketika membuat pembelian dan tidak terpedaya dengan promosi jualan murah tanpa memastikan produk dibeli itu tulen.

"Mereka boleh membeli daripada pengedar atau ejen sah kerana bukan mudah bagi memastikan ia tulen atau sebaliknya.

"Jika meragukan, mereka boleh menyalurkan aduan kepada persatuan kami atau melaporkan kepada pihak berkuasa," katanya ketika dihubungi semalam.

Khamis lalu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Johor merampas 210 kotak susu rumusan bayi yang disyaki tiruan dalam serbuan ke lima premis kedai ubatan dan serbaneka di sekitar Johor Bahru.

Dalam Operasi Produk Tiruan yang dijalankan kira-kira 12 tengah hari di premis di Iskandar Puteri, Mutiara Rini, Taman Orkid, Nusa Bestari dan Taman Daya itu, tiga daripada lima premis itu didapati menjual susu rumusan bayi (langkah satu) terbabit pada harga sama dengan yang asli iaitu RM200 bagi setiap pek.

Hasil siasatan mendapati lima premis itu adalah rangkaian perniagaan yang dimiliki syarikat berdaftar yang sama dan pemilik semua premis perniagaan iaitu lelaki berusia 50-an itu mendakwa tidak sedar akan kehadiran kotak susu yang disyaki tiruan berkenaan.

Kementerian berkenaan menerima aduan daripada pengeluar susu berkenaan selepas mereka mendapat satu kes seorang bayi yang muntah teruk akibat menggunakan susu jenama itu.

Selepas empat bulan risikan dibuat, serbuan dan pemeriksaan dijalankan dan mendapati terdapat kotak-kotak susu yang disyaki tiruan ini dijual dan dicampur dengan yang asli pada rak jualan.

Berita berkaitan

Macam original, tapi 'tiruan'

Disiarkan pada: December 11, 2017 @ 8:56pm
d