mutakhir

17 kampung dilanda banjir kilat

Oleh Recqueal Raimi

TUJUH belas kampung di Kota Belud, dilanda banjir kilat berikutan hujan lebat sejak jam 3 petang hari ini.

Kampung berkenaan iaitu Kampung Bobot, Ejuk, Siasai Tamu, Kota Belud, Menunggui, Sembirai, Lingkodon, Linau dan Kampung Gunding.

Bagaimanapun, sehingga kini tiada penduduk yang dipindahkan.

Pemangku Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sabah, Leftenan Kolonel Mohd Izaimi Md Daud berkata, hujan lebat selama enam jam itu turut menyebabkan peningkatan paras Sungai Tempasuk, Sungai Kedamaian dan Sungai Abai sehingga mencecah paras bahaya iaitu 6.07 meter (m)dan melimpah ke kawasan kampung.

"Ia menyebabkan kawasan rendah termasuk jalan raya di 17 kampung dinaiki air sejak 6 petang tadi.

"Pada masa sama, Jalan Kampung Bobot, Jalan Kampung Linau dan Jalan Siasai Tamu turut dinaiki air dan tidak boleh dilalui semua jenis kenderaan manakala Jalan Kampung Kota Belud, Jalan Kampung Menunggui dan Jalan Bypass Lebak Moyoh Kudat tidak boleh dilalui kenderaan rendah," ketika dihubungi.

Beliau berkata, pihaknya masih menjalankan pemantauan dan bersiap sedia untuk membantu jika penduduk perlu berpindah.

"Kampung lain yang terjejas iaitu Kampung Tanjung Pasir, Wakap, Labuan, Donggoi, Sadok-sadok, Marajah, Lebak Engad dan Kampung Keranjang.

"Pengguna kenderaan disarankan menggunakan laluan alternatif iaitu di Jalan Kampung Piasau dan Jalan Bypass Kudat.

Sementara itu, laluan di Jalan Tuaran-Kota Kinabalu berhampiran perumahan Rugading turut dinaiki air menyebabkan kesesakan lalu lintas.

Disiarkan pada: December 11, 2017 @ 9:45pm
d