mutakhir

Saintis muda SMA Al-Maad raih pingat emas di Taiwan

Oleh Dziyaul Afnan Abdul Rahman

SEKOLAH Menengah Agama Al-Maad, Kangar mengharumkan nama negara apabila tiga produk herba dihasilkan lima pelajarnya memenangi dua pingat emas, satu perak dan satu anugerah khas pada Pertandingan Inovasi dan Reka Cipta Antarabangsa Kaohsiung 2017 di Taiwan, semalam

Produk berkenaan ialah 'Herbal Rodents Dispel' (HRD) dan 'Smart Organic Fertilizer' (SOFT) yang memenangi pingat emas dan 'Herbal Treatment Gel' (HTG) yang dianugerahkan pingat perak.

Guru pengiring, Mohd Faizal Zainul berkata, tiga produk itu dihasilkan oleh Muhammad Firdaus Fadzly, 18; Bilal Mohd Asri, 17; Amir Ardani Sarudin, 16; Mohd Muttahhar Nazri, 16, dan Afzal Hakim Mohd Sabri, 14.

Beliau berkata, pihaknya berbangga apabila produk berkenaan menambat hati juri kerana objektif utamanya untuk menghasilkan produk pencegah wabak penyakit tanpa bahan kimia.

"Semua produk ini berasaskan bahan mentah daripada herba tempatan di Malaysia seperti daun limau purut, daun durian Belanda, serai wangi, kulit kayu manis, tepung ubi, sabut kelapa, cili merah dan beberapa herba lain.

"Produk HRD ini direka untuk menghalau tikus melalui bauan herba hasil campuran tujuh herba, manakala SOFT adalah baja organik menggunakan bahan semula jadi yang boleh memberi khasiat dan mineral mencukupi kepada tumbuhan selain mencegah serangga perosak.

"HTG pula adalah krim gel menggunakan campuran abstrak tumbuhan seperti aloe vera, timun, pudina, senduduk dan kayu manis untuk merawat luka dan boleh menghapuskan bakteria dan habuk," katanya dihubungi.

Mohd Faizal berkata, produk HRD juga menerima anugerah khas daripada Taiwan pada pertandingan berlangsung dari Jumaat lalu hingga semalam kerana meliputi penyelesaian masalah makhluk perosak di peringkat global.

"Produk rekaan pelajar saya ini berjaya mengalahkan 360 produk inovasi lain daripada 19 negara peserta termasuk Taiwan," katanya.

Menurutnya, pihak sekolah berharap ada pihak membantu mengkomersialkan ketiga-tiga produk itu yang dibuat hasil kerjasama penyelidikan Fakulti Teknologi Kejuruteraan dan Pusat Pengajian Kejuruteraan Pembuatan Universiti Malaysia Perlis.

Kontinjen Malaysia ke Taiwan diketuai oleh Ketua Delegasi Penyelidik, Prof Madya Dr Mohd Mustafa Al- Bakri Abdulah.

Disiarkan pada: December 11, 2017 @ 11:50pm
d