mutakhir

Dr Mahathir, isteri sah pulangkan darjah kebesaran

Oleh Fuad Hadinata Yaacob

ISTANA Selangor mengesahkan Tun Dr Mahathir Mohamad sudah memulangkan darjah kebesaran yang dikurniakan Sultan Selangor sebelum ini pada Khamis lalu.

Turut berbuat demikian ialah isteri Dr Mahathir, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali.

Setiausaha Dewan di-Raja Selangor Hanafisah Jais berkata, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menerima pemulangan kembali darjah dan bintang kebesaran Selangor daripada bekas Perdana Menteri itu dan Dr Siti Hasmah tanpa halangan.

"Tindakan mewartakan pembatalan kurniaan darjah dan bintang kebesaran Selangor itu akan dilakukan mengikut prosedur serta proses yang ditetapkan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sebelum ini akhbar melaporkan Dr Mahathir sudah memulangkan dua darjah kebesaran yang diterima beliau pada Khamis lalu dan diserahkan kepada pegawai kanan di pejabat Sultan Selangor di Istana Alam Shah, Klang.

Dalam pada itu jurucakap Dr Mahathir berkata, darjah kebesaran yang dipulangkan ialah Darjah Kelas Pertama Darjah Kebesaran Seri Paduka Mahkota Selangor (SPMS) yang membawa gelaran Datuk Seri dan Darjah Kebesaran Datuk Paduka Mahkota Selangor (DPMS) (Kelas Kedua), membawa gelaran Datuk bagi lelaki dan Datin Paduka bagi wanita.

Jurucakap itu turut mengesahkan Dr Siti Hasmah melakukan tindakan sama dengan memulangkan darjah kebesaran yang diterima beliau.

Sebelum ini, Sultan Sharafuddin memandang serius dan kecewa dengan kenyataan Dr Mahathir yang dilihat cuba menghasut rakyat membenci, menghina dan memandang serong terhadap bangsa Bugis.

Sultan Sharafuddin selepas berbincang dengan ahli Dewan, menganggap ucapan itu sangat keterlaluan sehingga boleh mencetuskan kekecohan dan huru-hara.

Disiarkan pada: December 12, 2017 @ 10:41am
d