mutakhir

Semoga urusan mangsa banjir dipermudahkan

Oleh Recqueal Raimi

SERAMAI 120 individu daripada 79 keluarga ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) Dewan Masyarakat Tun Said, Kota Belud, jam 9 pagi hari ini.

Ia berikutan hujan lebat berterusan sejak 3 petang semalam yang menyebabkan 26 kampung di daerah berkenaan dinaiki air.

Pemangku Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sabah Leftenan Kolonel Mohd Izaimi Md Daud berkata, mangsa terdiri

daripada 69 dewasa, 46 kanak-kanak, seorang bayi dan empat warga emas.

“Operasi memindahkan mangsa banjir dibantu RELA, bomba dan penyelamat, PDRM dan ATM,” katanya.

Beliau berkata, paras air di Sungai Tempasuk, Sungai Kedamaian dan Sungai Abai di daerah berkenaan masing-masing mencecah paras bahaya iaitu 6.07 meter.

“Selain itu, hujan di daerah berkenaan juga masih berterusan,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, beberapa jalan termasuk Jalan Kampung Siasai Tamu, Jalan Kampung Bobot, Jalan Kampung Menunggui dan Jalan Kampung Linau tidak boleh dilalui semua kenderaan.

Katanya, Jalan Kampung Kota Belud dan Jalan Bypass Lebak Moyoh- Kudat pula tidak boleh dilalui kenderaan ringan.

“Pengguna kenderaan disaran menggunakan laluan alternatif iaitu Jalan Kampung Piasau dan Jalan Bypass Kudat.

“Bagi laluan di Jalan Tuaran-Kota Kinabalu berhampiran perumahan Rugading yang turut dinaiki air, pengguna disarankan melalui Jalan Gayang-Sulaman,” katanya.

Sehubungan itu, Mohd Izaimi berkata, APM giat memantau keadaan banjir dari semasa ke semasa dan pada masa sama, mengenal pasti penduduk yang perlu dipindahkan.

“Penduduk boleh menghubungi talian banjir 088-976973 untuk pemindahan segera,” katanya.

Disiarkan pada: December 12, 2017 @ 10:55am
d