mutakhir

Pulau Pinang sumbang RM100,000 untuk Kelantan

Oleh Hazira Ahmad Zaidi

KERAJAAN Pulau Pinang menyerahkan cek sumbangan banjir RM100,000 kepada kerajaan Kelantan di Kota Bharu, hari ini.

Sumbangan disampaikan Pengerusi Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Pulau Pinang Datuk Abdul Malik Abul Kassim mewakili kerajaan negeri itu kepada Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kebajikan Kelantan Mumtaz Md Nawi mewakili Kelantan.

Abdul Malik berkata, atas dasar keprihatinan, pihaknya tampil menghulur bantuan serupa kepada Kelantan selepas kerajaan negeri itu membantu ketika Pulau Pinang dilanda banjir, November lalu.

Katanya, bantuan juga adalah kesinambungan daripada apa yang dihulurkan ketika bencana pada 2014, apabila kerajaan negeri menghantar lori tangki air dan kelengkapan untuk pihak berkuasa tempatan membersihkan kawasan terjejas banjir.

“Selain kerajaan Selangor, Kelantan membantu kami ketika menghadapi bencana dengan memberi sumbangan dan sokongan moral. Jadi kami turut memberi bantuan serupa apabila mereka memerlukan,” katanya ditemui pada Majlis Penyampaian Bantuan Banjir di Kompleks Darulnaim, Kota Bharu.

Harian Metro sebelum ini melaporkan, Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng mengumumkan peruntukan RM100,000 bagi membantu rakyat Kelantan yang terjejas akibat banjir lebih seminggu lalu.

Lim dilaporkan berkata, RM50,000 akan disalurkan kepada kerajaan negeri Kelantan manakala baki RM50,000 kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di negeri itu.

Ketika banjir di Pulau Pinang, baru-baru ini, Kelantan menyampaikan bantuan segera RM50,000 kepada kerajaan negeri itu.

Sementara itu, Mumtaz berkata, kerajaan negeri Kelantan komited untuk terus berusaha menjaga dan melindungi rakyat serta menyelesaikan masalah banjir yang berlaku di negeri ini dengan baik.

“Saya mengucapkan terima kasih atas kesungguhan semua pihak termasuk kerajaan negeri Pulau Pinang yang menghulurkan sumbangan untuk membantu mereka yang terjejas,” katanya.

Disiarkan pada: December 12, 2017 @ 12:20pm
d