mutakhir

Asisten Komisioner polis disambung reman

Oleh Muhammad Apendy Issahak

REMAN Asisten Komisioner polis bersama isteri serta seorang ahli perniagaan wanita yang ditahan bagi membantu siasatan kes rasuah disambung empat hari lagi bermula esok.

Ketiga-tiga individu berkenaan yang berpakaian lokap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dibawa ke Mahkamah Majistret Ipoh kira-kira 11 pagi hari ini.

Bekas Ketua Polis Daerah (KPD) berusia 59 tahun itu ditahan pada 7 Disember lalu sebelum direman lima hari yang tamat hari ini.

Perintah tahanan reman dimohon Timbalan Pendakwa Raya Nurul Wahida Jalaludin dan Majistret Nurul Hafizah Mohammad Pauzi membenarkan reman ketiga-tiga individu terbabit disambung hingga Sabtu ini.

Pegawai polis bersama isterinya itu diwakili peguam A Ashok, manakala ahli perniagaan berkenaan tidak diwakili peguam.

Harian Metro sebelum ini melaporkan seorang bekas KPD dan kini bertugas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak ditahan 7.30 malam, 7 Disember lalu.

Pegawai polis berkenaan ditahan bersama isterinya berusia 54 tahun dan seorang ahli perniagaan wanita berusia 34 tahun.

Dia yang bakal bersara pada Januari depan disiasat kerana dipercayai menerima wang rasuah sebanyak RM70,000 melalui akaun bank milik isterinya daripada ahli perniagaan wanita berkenaan.

Serbuan SPRM Perak di rumah pegawai polis terbabit turut menemui wang tunai berserta barang kemas bernilai hampir RM1 juta dalam kotak kasut dan peti besi.

Berita berkaitan

[UPDATE] Sorok RM1 juta dalam kotak kasut, peti besi

Asisten Komisioner Polis direman

Disiarkan pada: December 12, 2017 @ 1:28pm
d