mutakhir

Tendang motosikal sebelum samun

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

DUA pekerja syarikat pengurup wang disamun tiga lelaki menaiki motosikal di Kilometer 298.7 Lebuhraya Kuala Lumpur - Seremban, Kajang, kira-kira 1 tengah hari semalam.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yusoff berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang mangsa berusia 20 tahun kira-kira 5 petang.

“Berdasarkan maklumat mangsa, dia bersama rakannya berusia 26 tahun yang menaiki motosikal dalam perjalanan dari Bukit Bintang, Kuala Lumpur menuju ke sebuah pusat beli-belah di Bandar Baru Bangi untuk menghantar wang tunai pelbagai mata wang asing bernilai RM152,250.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, sebuah motosikal Yamaha 135 LC dinaiki dua lelaki bersenjatakan parang dan kapak menendang motosikal mangsa hingga terjatuh.

“Kemudian sebuah lagi motosikal dinaiki seorang lelaki bersenjatakan kapak menghampiri mangsa sebelum melarikan beg galas milik syarikat yang mengandungi wang tunai pelbagai mata wang asing bernilai RM152,250,” katanya.

Ahmad Dzaffir berkata, pada mulanya, suspek yang menaiki Yamaha 135 LC cuba mematikan motosikal ditunggang mangsa namun sempat mengelak.

“Suspek bertindak menendang motosikal mangsa, menyebabkan mangsa terjatuh sebelum seorang lagi suspek mengambil beg galas mengandungi wang tunai berkenaan.

“Mangsa hanya cedera ringan sebelum dibawa ke Hospital Kajang untuk rawatan lanjut,” katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.

Disiarkan pada: December 12, 2017 @ 1:58pm
d