mutakhir

Orang suruh belajar, dia edar dadah

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

LELAKI warga Bangladesh berusia 23 tahun yang juga penuntut sebuah universiti swasta di Semenyih ditahan bersama empat ketulan dan satu plastik lutsinar mengandungi dadah jenis ganja di asramanya pada 4 petang, semalam.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yussof berkata, pihaknya menerima aduan daripada orang awam berhubung kegiatan suspek yang dipercayai mengedar dadah di universiti berkenaan.

“Berdasarkan maklumat diterima, sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang membuat serbuan di bilik asrama suspek sebelum menemui dadah seberat empat kilogram yang dianggarkan bernilai RM12,000.

“Hasil siasatan awal mendapati suspek yang juga penuntut Sarjana Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik mula menuntut di universiti berkenaan sejak 2014 dan dijangka menamatkan pengajian pada 2019,” katanya.

Ahmad Dzaffir berkata, suspek dipercayai aktif melakukan aktiviti pengedaran dadah sejak dua tahun lalu.

“Suspek akan direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung sebarang aktiviti pengedaran dadah boleh menghubungi balai polis berhampiran,” katanya.

Disiarkan pada: December 12, 2017 @ 2:14pm
d