mutakhir

Lagi rumah terbakar

Oleh Zuliaty Zulkiffli

DUA rumah, sebuah kereta dan motosikal musnah dalam kebakaran berdekatan Masjid Alor Merah, Alor Setar, hari ini.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Bomba Mohamad Mustakim Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kebakaran itu, 7.29 malam.

Beliau berkata, anggota Unit RIM dari Balai Penyelamat (BBP) Alor Setar tiba di lokasi 7.35 malam sebelum sepasukan anggota bomba dari balai itu tiba tidak lama kemudian untuk memadam kebakaran.

Beliau berkata, operasi diketuai Timbalan Penguasa Bomba Mohd Helmi Abu Husin bersama 14 anggota dan dua penyelia dan turut dibantu anggota Pasukan Bomba Sukarela dari Jalan Kundur.

Katanya, ketika tiba di lokasi, didapati kedua-dua rumah kelas C itu terbakar lebih 80 peratus, namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

"Api berjaya dikawal pada 7.46 malam dan turut terbakar sebuah kereta dan motosikal. Punca dan kerugian masih dalam siasatan," katanya.

Disiarkan pada: December 12, 2017 @ 9:48pm
d