mutakhir

Madius dedah kerancakan teknovasi

Oleh HM Digital

Kuala Lumpur: Menyedari pentingnya mendedahkan kerancakan teknovasi (teknologi dan inovasi) kepada masyarakat, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) Datuk Seri Wilfred Madius Tangau tampil dengan buku berjudul Komunikasikan Sains, Tulus, Integriti Demi Kesejahteraan Masyarakat.

Madius berkata, penulisan itu dibuat sebagai usaha meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan sains, teknologi dan inovasi dalam kehidupan.

“Teknologi tanpa inovasi kita tidak boleh menghasilkan nilai. Sebab itu kita ambil langkah ini (penulisan) dan ia diteruskan.

“Ia semata-mata berkomunikasi dan menghebahkan. Satu dari segi peranan kementerian dan kedua untuk menyebarkan mengenai perkembangan semasa dari segi teknologi.

“Sebagai contoh kita bercerita mengenai Revolusi Perindustrian Keempat (IR4), saya bercerita mengenainya dua tahun lalu pada November 2015 dan ia kini menjadi sebutan ramai,” katanya pada majlis pelancaran buku beliau yang disempurnakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sempena Persidangan Komuniti Keusahawanan Global (GEC) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini, semalam.

Buku berbahasa Melayu dan Inggeris setebal 307 halaman itu menghimpunkan 42 artikel tulisan Madius yang disiarkan di akhbar Daily Express Sabah, laman sosial MOSTI dan laman sosial beliau sejak Februari 2016 hingga Jun 2017.

Disiarkan pada: December 13, 2017 @ 5:52am
d