mutakhir

Sembilan syarikat rela

Oleh Hamizah Badiran

Kajang: Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) menandatangani nota kerjasama dengan sembilan syarikat yang mengambil bahagian dalam membantu klien (bekas penagih dadah) untuk berkhidmat dan memberi sumbangan dalam sektor pekerjaan.

Ketua Pengarah AADK Datuk Dr Abd Halim Mohd Hussin berkata, kerjasama itu bertujuan memperkasakan majikan bagi mewujudkan persekitaran kerja yang menyokong dan meningkatkan potensi kerjaya klien ke tahap lebih tinggi.

“Tidak ramai majikan berani mengambil klien AADK atau bekas penagih sebagai pekerja mereka kerana risau dengan pelbagai kesan negatif termasuk stigma masyarakat sekeliling yang mengatakan bekas penagih ini tidak berguna, sukar pulih dan sebagainya.

“Setiap manusia ada peluang kedua dan pilihan dalam kehidupan termasuk penagih. Hanya kerana mereka pernah tersalah jalan tidak bermaksud ia kekal begitu.

“Justeru, dengan pembabitan dan kerjasama anda (majikan) mampu membantu serta memberi pendidikan kepada lebih banyak syarikat di luar sana untuk mengambil klien AADK sebagai pekerja mereka,” katanya pada majlis itu di Ibu Pejabat AADK di sini, semalam.

Hadir sama, Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) AADK, Che Kodir Baharum.

Beliau berkata, jalinan dan komitmen di antara syarikat terbabit membantu mengekalkan kepulihan klien di samping memberi motivasi kepada mereka untuk maju dalam kehidupan.

Pada majlis berkenaan, sembilan syarikat yang menandatangani nota kerjasama adalah Mutiara Kayamas Sdn Bhd, Mahasiswa Turun Parlimen, Grand Teknik Bina Sdn Bhd, ZMN Family Services Sdn Bhd, Fasa Elektrik Sdn Bhd, Lestari Sales And Services Sdn Bhd, RMR Metalwork, RM Eza Enterprise dan D’Larist Butieq.

Menurut Pengurus D’Larist Butieq, Mahanom Mohd Zin, niatnya mengambil klien AADK sebagai pekerja ialah untuk membantu ekonomi serta rohani mereka.

“Pada ketika ini saya ada seorang pekerja daripada klien AADK dan dua lagi mula bekerja pada pertengahan bulan ini serta awal tahun depan.

“Saya tidak pandang masa silam mereka, sebaliknya hanya mahu mereka bekerja keras mengubah kehidupan ke arah lebih baik.

“Keluarga terutama ayah saya juga sentiasa membimbing, memberikan motivasi dan kata perangsang kepadanya supaya fokus dengan kerjaya serta jauhi cara hidup lama,” katanya.

Disiarkan pada: December 13, 2017 @ 5:53am
d