mutakhir

Keselamatan lemah

Oleh Hazsyah Abdul Rahman

Klang: Kawalan keselamatan yang lemah didakwa menjadi punca insiden rempuhan tiga peserta larian Klang City International Marathon di Jalan Kapar Batu 2, di sini, Ahad lalu.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Klang (MPK) Datuk Mohamad Yasid Bidin berkata, tanggungjawab penganjur adalah memastikan kawalan keselamatan peserta dalam keadaan baik namun apa yang berlaku adalah sebaliknya.

Beliau berkata, penganjur hanya mengemukakan permohonan untuk menyewa padang di Kompleks Sukan Pandamaran daripada MPK kerana larian berkenaan adalah penganjuran secara persendirian.

“Pada hari larian dianjurkan, MPK terbabit dengan pelbagai program sempena Hari Keputeraan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah yang ke-72 di Istana Alam Shah.

“Jika mereka memerlukan bantuan dari segi penguatkuasaan MPK pun kita tak dapat bantu sebab semuanya terbabit dengan program berkenaan,” katanya ditemui pada Majlis Pecah Tanah Bulatan Seratus di sini semalam.

Mohamad Yasid berkata, penganjur seharusnya mendapatkan bantuan daripada pihak keselamatan lain seperti Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) bagi memastikan keselamatan peserta larian.

Beliau berkata, selain aspek keselamatan yang lemah, tiada hebahan meluas kepada penduduk sekitar kawasan yang menjadi laluan peserta larian itu antara punca kemalangan itu berlaku.

“Seharusnya penganjur meletakkan papan tanda, kain rentang dan kawalan keselamatan di setiap persimpangan sepanjang laluan peserta larian untuk mengingatkan pengguna jalan raya bahawa acara itu sedang dijalankan,” katanya.

Dalam kejadian awal pagi Ahad lalu, seorang peserta larian berkenaan parah manakala dua lagi cedera ringan selepas dilanggar kereta Proton Iswara dari arah belakang di Batu 2, Jalan Kapar di sini.

Disiarkan pada: December 13, 2017 @ 6:35am
d