mutakhir

Fareezuan selamatkan adik sebelum hanyut

Oleh Izlaily Nurul Ain Hussein

KANAK-kanak lelaki berusia 12 tahun yang dikhuatiri lemas di Sungai Plentong, Kampung Sri Makmur, Plentong, Johor Bahru, petang semalam, berjaya menyelamatkan adiknya yang terjatuh ke dalam sungai terlebih dahulu sebelum dia dihanyutkan arus deras.

Bapa mangsa, Anuar A Rahim, 51, berkata, dalam kejadian 3.15 petang semalam, anak kedua dari lima beradik itu, Muhammad Fareezuan Anuar bersama adiknya, Muhammad Fahim Iqmal, 9, dan empat lagi rakan ke lokasi berkenaan untuk bermain air.

"Kira-kira 2 petang, anak saya masih berada di rumah dan kemudian dia memberitahu isteri saya, Juliana Ismail hendak pergi ke rumah neneknya yang terletak bersebelahan rumah kami.

"Dalam 3.30 petang, seorang daripada rakan mereka datang ke rumah dan memberitahu anak kami jatuh ke dalam sungai.

"Kami bergegas ke lokasi dan terkejut memang benar anak kami tidak berada di situ dan terus ke Balai Polis Plentong bagi memaklumkan kejadian itu kepada polis," katanya ketika ditemui di lokasi tempat anaknya dilaporkan terjatuh, hari ini.

Anuar berkata, anaknya memang selalu ke kawasan itu untuk bermain air, namun semalam, sekumpulan remaja dan kanak-kanak terdiri daripada dua perempuan dan empat lelaki berusia antara sembilan hingga 15 tahun termasuk dua anaknya dipercayai bermain di kawasan yang lebih tinggi.

Katanya, dia difahamkan mereka cuba meniti benteng air di lokasi berkenaan untuk menyeberang sungai itu sebelum anak keempat dari lima beradik terjatuh ke dalam sungai terlebih dahulu apabila datang kepala air secara tiba-tiba.

“Adiknya terjatuh dan berpaut pada besi sebelum Muhammad Fareezuan cuba menyelamatkan adiknya, namun apabila kawannya hendak menyelamatkan Muhammad Fareezuan, kaki kawannya seperti tersangkut dan anak saya kemudian dilihat dihanyutkan tanpa sempat diselamatkan.

"Jarak rumah kami dengan lokasi kejadian kira-kira 300 meter," katanya.

Menurut pekerja hotel itu, dia dan isteri amat berharap anaknya dapat ditemui dengan selamat, namun reda jika sudah tiba ajal anaknya itu.

"Namun, biarlah kami dapat melihat jasadnya walaupun dia sudah tiada," katanya.

Sementara itu, Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Johor Jaya Syed Nasir Syed Abu Bakar berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa diteruskan hari ini bermula 8 pagi tadi.

"Seramai 40 anggota pasukan penyelamat dari bomba, Polis Diraja Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia dan Jabatan Sukarelawan Malaysia terbabit dalam operasi itu dari semalam hingga hari ini.

"Operasi hari kedua diperluaskan sehingga ke lapan kilometer menyusuri sungai terbabit dan sehingga kini (2 petang) mangsa masih belum ditemui," katanya.

Berita berkaitan

Budak 12 tahun dikhuatiri lemas

Disiarkan pada: December 13, 2017 @ 2:29pm
d