mutakhir

Labi-labi ini 'John Labu' yang punya

Oleh Dziyaul Afnan Abdul Rahman

AGENSI Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) Perlis menahan lelaki, 38, dan merampas 29 bungkusan daging labi-labi kering, serbuk kopi, rempah sup serta madu yang cuba diseludup ke Thailand.

Komander AKSEM Perlis Syed Basri Syed Ali berkata, suspek berasal dari Taiping, Perak ditahan pada sekatan jalan raya di Kilometer 27, Jalan Kangar menghala ke Padang Besar, 4 petang Isnin lalu.

Katanya, anggota AKSEM Padang Besar menahan lori dipandu suspek selepas ia dilihat dalam keadaan mencurigakan.

“Pemeriksaan pada lori menemui beberapa kotak yang mencurigakan. Kenderaan itu dan suspek kemudiannya dibawa ke Kompleks AKSEM Padang Besar.

“Selain daging labi-labi, kami menemui enam kotak serbuk kopi, sejumlah perisa herba dan 600 bungkus madu.

“Produk terbabit tidak mendapat kelulusan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan cuba diseludup ke negara jiran memandangkan permintaan tinggi daripada penggemar makanan eksotik,” katanya.

Menurut beliau, jumlah rampasan termasuk lori ialah RM123,560.

Kes disiasat mengikut Akta 716 Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 dan Peraturan 360B, Peraturan-Peraturan Makanan 1985 mengikut Akta Pemakanan 1983.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Affendi Ibrahim ketika dihubungi berkata, suspek dibebaskan dengan jaminan polis sementara menunggu keputusan ujian kimia oleh pihaknya ke atas daging labi-labi terbabit.

Disiarkan pada: December 13, 2017 @ 3:03pm
d