mutakhir

Jual 'air liur' RM900K

Oleh Ekhwan Haque Fazlul Haque

AHLI perniagaan kerugian RM900,000 selepas diperdaya dua 'bomoh air liur' yang menawarkan rawatan memulihkan pukau di Padawan, sejak penghujung November lalu.

Lelaki berusia 60 tahun itu didatangi dua lelaki yang mendakwa dia dipukau oleh beberapa individu termasuk isterinya, dan ‘bomoh’ itu mempunyai kebolehan untuk merawatnya.

Terkejut dengan dakwaan itu menyebabkan mangsa bimbang dan meminta lelaki terbabit untuk merawatnya segera serta bersedia menuruti permintaan 'bomoh' berkenaan.

‘Bomoh’ terbabit juga sengaja menakutkan dengan mendakwa mangsa bakal berdepan dengan pelbagai musibah sekiranya tidak dirawat segera, tanpa mangsa sedari sebenarnya dia dipukau suspek.

Melihat mangsa bersungguh-sungguh untuk dirawat menyebabkan suspek mengambil peluang dengan meminta sejumlah wang yang diberikan secara berperingkat sehingga mencecah RM900,000 secara tunai kepada mereka hasil penjualan aset seperti kenderaan, tanah dan rumah.

Selepas mangsa menyerahkan wang berkenaan secara berperingkat, namun tiada sebarang perubahan, ahli perniagaan itu akhirnya sedar dirinya menjadi mangsa penipuan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak Superintendan Mustafa Kamal Gani Abdullah ketika dihubungi Harian Metro mengesahkan pihaknya menerima laporan daripada ahli perniagaan itu, Jumaat lalu.

Menurutnya, mangsa mula sangsi dengan tujuan suspek untuk mengubatinya selepas menyedari wang yang diserahkan sudah mencecah RM900,000, namun tiada sebarang perubahan yang dialaminya.

"Mangsa juga yakin dia hanya digunakan untuk mendapatkan wang mudah dengan pelbagai alasan sehingga sanggup mengancam nyawanya dan isteri jika permintaan suspek tidak diendahkan," katanya di Kuching, hari ini.

Mustafa Kamal berkata, mangsa kemudiannya membuat laporan polis 8 Disember lalu untuk tindakan selanjutnya daripada pihak berkuasa bagi mengesan suspek yang terbabit dalam kejadian ini.

Katanya, berdasarkan maklumat yang diperoleh, pasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Daerah Padawan sudah mengenal pasti suspek dan tindakan lanjut sedang dijalankan bagi menahan mereka dalam masa terdekat.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan (KK) kerana menipu dan orang ramai diminta lebih berhati-hati dan tidak sewenangnya menyerahkan wang dalam jumlah yang banyak kepada individu yang tidak dikenali," katanya.

Disiarkan pada: December 13, 2017 @ 4:49pm
d