mutakhir

Perisian palsu dirampas

Oleh Noor Hidayah Tanzizi

SEBANYAK 10 komputer dan 49 salinan perisian cetak rompak bernilai RM400,000 dirampas Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Cawangan Manjung di sebuah premis di Seri Manjung, Khamis lalu.

Ketua Cawangan KPDNKK Manjung Mohamad Suhaimi Mohamad Nor berkata, rampasan membabitkan 10 komputer pelbagai jenama bernilai RM30,000 manakala 49 salinan perisian cetak rompak bernilai RM370,000.

Menurutnya, ia rampasan kes terbesar di Perak pada tahun ini dan serbuan itu hasil maklumat daripada Gabungan Perisian Komputer Perniagaan.

"Syarikat berkenaan sudah tujuh tahun beroperasi dan dipercayai menggunakan perisian cetak rompak.

"Antara perisian yang dirampas adalah Adobe Windows XP Profesional, AutoCad, Photoshop dan beberapa perisian lain," katanya pada sidang media di Pejabat KPDNKK Cawangan Manjung, hari ini.

Menurut Mohamad Suhaimi, mengikut Akta Hak Cipta 1987, jika didapati sesebuah syarikat menggunakan perisian haram, mereka bakal berdepan dengan tindakan undang-undang.

"Jika sabit kesalahan, individu atau syarikat itu boleh dikenakan denda maksimum RM20,000 dan penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali," katanya.

Beliau berkata, pihaknya memandang serius perkara itu dan menasihati orang ramai supaya tidak menggunakan perisian cetak rompak bagi menjamin perlindungan hak harta intelek.

Disiarkan pada: December 13, 2017 @ 5:40pm
d