mutakhir

Siswa tauke ganja

Oleh Zatul Iffah Zolkiply

RAHSIA seorang penuntut tahun akhir sebuah universiti awam di Kuala Nerus mengedar dadah terbongkar selepas polis menyerbu sebuah rumah di Jalan Mengabang Telipot, Padang Nenas, Kuala Nerus, kelmarin, dan merampas ganja seberat hampir satu kilogram (kg).

Selain merampas ganja yang dianggarkan bernilai RM3,000, polis turut menyita pelbagai barangan lain termasuk sebuah Proton Satria dan wang tunai RM400 dengan rampasan keseluruhan bernilai RM10,000.

Selain suspek utama berusia 22 tahun berasal dari Kelantan, polis turut menahan tiga rakan serumahnya berusia 21 hingga 24 tahun yang menuntut di universiti sama dalam serbuan 10.30 pagi.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu Asisten Komisioner Idris Abd Rafar berkata, serbuan dilakukan pihaknya hasil maklumat awam dan risikan mengenai aktiviti pengedaran dadah di kawasan berkenaan.

Beliau berkata, pemeriksaan lanjut di rumah sewa itu menemui ganja yang masih dalam proses pembungkusan dipercayai untuk dijual kepada pelanggan serta tiga biji pil ecstasy bernilai RM30.

"Hasil soal siasat, dalang utama jenayah ini adalah penuntut berusia 22 tahun yang mendedahkan bahawa dia mengambil dadah itu dari negara jiran sebelum menjadikan rumah sewa sebagai tempat pembungkusan dan pengedaran.

"Polis juga mendapati suspek mengagihkan dadah kepada beberapa bungkus seberat 25 gram dan 65 gram untuk dijual pada harga RM10 hingga RM50 kepada pelanggan yang dipercayai dalam kalangan penuntut dan penduduk setempat di Kuala Nerus.

"Suspek turut mengakui memulakan aktiviti penjualan dadah ini sejak September lalu dan memaklumkan dia membeli dadah seberat satu kg itu dengan harga RM1,500," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu hari ini.

Idris berkata, suspek juga mengaku dia mempunyai antara lapan hingga 10 pelanggan tetap terdiri daripada penuntut universiti sama.

Katanya, pihaknya akan bekerjasama dengan pihak universiti untuk menjalankan siasatan terperinci bagi mengenal pasti jumlah sebenar penuntut yang terbabit dalam gejala dadah ini.

"Empat suspek yang positif ganja kini direman tujuh hari sehingga Isnin depan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Disiarkan pada: December 13, 2017 @ 6:01pm
d