mutakhir

Sejuta dijangka kunjungi MAPS

Oleh Razif Rosli

Movie Animation Park Studios (MAPS) Ipoh dijangka menarik satu juta pelawat asing dan tempatan sepanjang tahun pertama operasinya apabila kesemua zon taman tema itu dibuka sepenuhnya Januari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor negeri Perak, Datuk Mohamad Zahir Abdul Khalid berkata, sasaran itu berjaya dicapai dengan pembukaan zon baru Dream Zone.

Menurutnya, pihaknya menjelaskan semua zon di MAPS dapat beroperasi sepenuhnya selepas kerja-kerja penambahbaikan dan semakan tambahan dibuat.

Katanya, kesemua zon itu dijangka dapat disiapkan dan dibuka pada Januari depan.

"Dream Zone telah siap sepenuhnya, namun pemilik harta intelek Dreamworks telah menggariskam syarat agar dilakukan penambahbaikan audit, cahaya dan semakan tambahan termasuk reka bentuk, kawalan reka bentuk ke atas 'rides' dalam Dream Zone.

"Sebelum ini kita jangka ia akan dibuka pada 15 Disember ini namun Dreamworks telah maklumkan mereka akan hadir sekitar 12 Januari tahun depan, jadi kita harap ia dapat dibuka pada 15 Januari 2018," katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan bersama kira-kira 40 pengamal media seluruh Malaysia ke Dream Zone, salah satu zon baru yang bakal menggamit kunjungan pengunjung.

Tambahnya lagi, lebih 100,000 orang telah berkunjung taman tema itu sejak ia dibuka pada Jun lalu hingga Oktober lepas.

"Kita jangkakan hampir 300,000 pengunjung akan datang ke MAPS sehingga hujung tahun ini dengan satu juta pengunjung pada tahun pertama.

"Ia satu jangkaan yang munasabah memandangkan Zoo Taiping juga menerima jumlah pengunjung yang sama, dan ia tak mustahil dapat dicapai," katanya.

MAPS yang dibuka pada 26 Jun lalu mempunyai lebih 40 tarikan unik dengan enam tema animasi terkemuka dunia termasuk Boboiboy, The Smurfs dan beberapa watak animasi lain daripada Dreamworks antaranya Mr Peabody & Sherman, Casper The Friendly Ghost, Megamind dan The Croods.

Tambahnya, sudah pasti apabila zon baru itu dibuka, ia akan menjanjikan keseronokan berganda apabila pengunjung bakal mengalami pengalaman luar jangkaan di Dreams Zone.

Disiarkan pada: December 13, 2017 @ 10:37pm
d