mutakhir

Bakal penyelidik cemerlang

Oleh Rizanizam Abdul Hamid

Kuala Lumpur: Tiga kertas cadangan penyelidikan paling cemerlang dipilih menerima Anugerah Merdeka Geran Penempatan Antarabangsa 2017 di Menara Berkembar Petronas di sini, semalam.

Tiga penerima geran berkenaan adalah Dr Zetty Nor-
hana Balia Yusof, 35, Shahar Koyok, 32, dan Dr Sophia Rasheeqa Ismail, 30.

Ketiga-tiga penerima geran akan menerima penempatan jangka masa pendek membolehkan mereka memilih untuk mengikuti projek atau program kerjasama di institusi, syarikat, agensi dan organisasi yang diiktiraf di peringkat antarabangsa selama tiga bulan.

Ia bertujuan meningkatkan pengetahuan dan pengalaman mereka dalam penyelidikan bagi mencapai kecemerlangan dalam bidang masing-masing.

Terdahulu, Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, selaku Penaung Diraja Lembaga Pemegang Amanah Anugerah Merdeka berangkat menyampaikan anugerah kepada semua penerima geran.

Baginda bertitah, Anugerah Merdeka berusaha memupuk budaya kecemerlangan, menggalakkan pemikiran dalam kepemimpinan dan inovasi dan memperluaskan dasar pandang global.

“Bagi mewarisi legasi untuk generasi mendatang, satu-satunya cara, dengan mengekalkan kejayaan Malaysia sebagai pemain global yang dinamik, berdaya saing dalam sektor yang merangkumi sains dan teknologi, kepada seni dan kemanusiaan,” titah baginda.

Sementara itu, Shahar yang juga artis seni visual berkata matlamat utama penyelidikannya untuk mengangkat martabat budaya kaum Asal (Orang Asli) di Malaysia terutama melalui hasil karya seni mereka.

“Kajian saya memberi fokus terhadap karya seni penduduk Asal dalam konteks meraikan kepelbagaian etnik dan budaya di Malaysia di samping menekankan semangat Merdeka,” katanya yang menjadi penerima sulung bagi kategori Pendidikan dan Komuniti.

Shahar memilih National Art Gallery of Australia sebagai geran penempatan jangka pendek untuk bekerjasama bersama pakar-pakar terbaik, mengumpul pengalaman berharga bagi bidang berkenaan.

Dr Sophia memilih University of Cambridge, United Kingdom untuk melanjutkan penyelidikan secara terperinci hubungan antara lipid subtaip and risiko penyakit myocardial infarction melalui pendekatan terbaru di dalam pengajian lipidomic untuk penyakit tidak berjangkit.

“Kebanyakan maklumat mengenai penyakit kardiovaskular adalah berdasarkan populasi masyarakat Barat.

“Malaysia pula mempunyai populasi yang unik dan berbeza,” katanya yang kini berkhidmat sebagai Pegawai Penyelidikan Perubatan di Institut Penyelidikan Perubatan Malaysia.

Sementara itu, Dr Zetty berkata, akan memberi tumpuan terhadap kajian mengenai rumpai laut di Malaysia sebagai rawatan alternatif untuk epidemik pangkal batang (basal stem rot) yang dilihat dapat mengurangkan kulat dikenali sebagai Ganoderma boninense pada kelapa sawit secara ketara di dalam kertas penyelidikan beliau.

Dr Zetty memilih mengikuti program di University College of London, United Kingdom.

Disiarkan pada: December 14, 2017 @ 6:58am
d