mutakhir

GPS tersekat dedah gajah mati

Oleh HM Digital

Sandakan: Bangkai haiwan yang sudah mereput dan disyaki gajah Pygmy Borneo ditemui di Hutan Simpan Kawag, dekat Lahad Datu, kelmarin.

Ia ditemui kakitangan Jabatan Perhutanan Sabah.

Difahamkan, gajah itu dikenal pasti sebagai Liningkung, gajah yang dipasang kolar dengan Sistem Pengesanan Kedudukan Global (GPS) oleh Pusat Penyelidikan Danau Girang (DGFC) pada Mei tahun lalu.

Kakitangan DGFC menyedari sesuatu yang pelik selepas data yang dipancarkan dari GPS yang dipasang pada gajah terbabit tidak memaparkan lokasi terkini haiwan berkenaan.

Ia kemudian membawa kepada penemuan bangkai gajah itu.

Difahamkan, gajah itu dipercayai mati akibat ditembak pemburu haram tetapi ketika ditemui, gading masih berada pada bangkai gajah berkenaan.

Pengarah DGFC Dr Benoit Goossens ketika dihubungi mengesahkan penemuan bangkai itu.

Beliau berkata, gajah berkenaan dipasang kolar dengan GPS selepas dipindahkan dari Telupid ke Hutan Simpan Ulu Segama pada Mei tahun lalu.

Menurutnya, ia susulan konflik antara hidupan liar itu dengan penduduk
di kawasan berkenaan.

“Kami percaya gajah terbabit dapat lari selepas ditembak pemburu haram, sebelum mati. Ini kerana gadingnya masih ada ketika haiwan itu ditemui.

“Ini gajah ketiga ditemui mati di kawasan yang sama,” katanya.

Ia kes kematian kesembilan gajah Pygmy Borneo yang dilindungi sepenuhnya dalam tempoh 14 bulan.

Pada Rabu lalu, gajah jantan berusia enam hingga tujuh tahun mati selepas beberapa hari diselamatkan dari ladang sawit di Telupid.

Selain itu, pada bulan lalu, bangkai gajah jantan dengan tiga kesan tembakan ditemui
di ladang kelapa sawit Kalabakan di Tawau, dipercayai ditembak pemburu haram.

Disiarkan pada: December 14, 2017 @ 9:33am
d