mutakhir

Tabahlah duhai Membakut

Oleh Fardy Bungga

DUA belas kampung di Membakut terjejas akibat banjir manakala Sungai Membakut mencecah paras bahaya iaitu melebihi 6.4 meter sejak semalam.

Timbalan Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sabah Leftenan Kolonel (PA) Mohd Izaimi Md Daud berkata, 82 individu membabitkan 31 keluarga sudah dipindahkan ke pusat penempatan sementara (PPS) di Dewan Serbaguna Membakut.

Katanya, antara kampung yang dilanda banjir adalah Kampung (Kg) Papas, Kg Kayai, Kg Limadang, Kg Brunei, Kg Lampijas dan Kg Dungau.

“Setakat ini pemindahan hanya membabitkan lima kampung namun pemantauan di lokasi kampung terjejas lain turut dijalankan dari semasa ke semasa.

“Operasi pemindahan turut disertai Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am (JPKA) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia ( RELA),” katanya.

Agensi berkenaan turut memantau perkembangan terkini situasi banjir.

Menurut Mohd Izaimi, operasi pemantauan setakat ini berjalan lancar dan tiada jalan yang terputus akibat banjir.

Disiarkan pada: December 14, 2017 @ 9:57am
d