mutakhir

Ulangkaji awal pagi berbaloi

Oleh Siti A'isyah Sukaimi

KESUNGGUHAN seorang pelajar tingkatan tiga Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Putrajaya Presint 16(1) bangun jam 3 pagi setiap hari untuk mengulangkaji pelajaran terbalas apabila memperoleh 10A dan 1B dalam Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3).

Najwa Nur Iman Asmi, 15, yang juga anak kedua daripada tiga beradik berkata, dia mengamalkan mengulangkaji pelajaran pada waktu awal pagi sejak dari tingkatan dua.

"Sebaik bangun, saya terus mengambil wuduk dan menunaikan solat sunat hajat selain berdoa dipermudahkan oleh Allah untuk menerima ilmu serta diterangkan hati.

"Kemudian, saya akan mengulang kaji pelajaran sehingga 5 pagi serta tidur semula selepas itu," katanya ketika ditemui di sekolahnya di Putrajaya, hari ini.

Seramai 171 pelajar tingkatan tiga dari sekolah berkenaan menerima keputusan masing-masing pada hari ini.

Pada masa sama, Najwa Nur Iman berkata, dia juga sentiasa menumpukan perhatian kepada guru di dalam kelas serta bertanya jika ada sesuatu perkara yang tidak difahami.

"Saya juga belajar secara berkumpulan bersama rakan dari kelas sama dan kelas lain memandangkan kami sudah berkawan sejak dari sekolah rendah.

"Untuk tingkatan empat, saya berhasrat menyambung persekolahan di sini serta mengambil bidang sains tulen kerana cita-cita saya mahu menjadi seorang doktor," katanya.

Pengetua SMK Putrajaya Presint 16(1) Ab Aziz Mamat berkata, ibu bapa seharusnya melihat secara keseluruhan Pelaporan Profil Murid Tingkatan Tiga 2017 yang diserahkan kepada anak mereka serta tidak hanya menumpukan kepada peperiksaan PT3.

"Kita tidak hanya mementingkan akademik semata-mata sedangkan pelaporan ini melihat secara keseluruhan, misalnya kurikulum, kokurikulum, sahsiah, minat dan seumpamanya.

"PT3 satu daripada pelaporan ini dan dari situ, ibu bapa dapat memahami anak mereka secara menyeluruh dan kecenderungan serta minat mereka," katanya.

Menerusi Pelaporan Profil Murid Tingkatan Tiga diumumkan bersama keputusan peperiksaan PT3, hari ini, antara yang dinyatakan ialah Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum, Pentaksiran Psikometrik dan Pentaksiran Bilik Darjah.

Disiarkan pada: December 14, 2017 @ 12:56pm
d