mutakhir

'Ini hadiah buat mak'

Oleh Izlaily Nurul Ain Hussein

BIARPUN terpaksa mengulangkaji pelajaran seorang diri, itu tidak menjadi halangan buat seorang anak yatim, Ina Najwa Ruzaidi, 14, mencapai keputusan cemerlang 7A 2B 1C dalam Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3).

Ina Najwa dijaga ibu, Junaidah Atan, 47, yang bekerja sebagai tukang cuci selepas kematian bapa, Allahyarham Ruzaidi Mohd Yusof akibat leukimia, lima tahun lalu.

Ina Najwa berkata, sejak ibunya menjadi penanggung tunggal dan mencari rezeki membesarkan dia dan kakaknya, kebanyakan masa dihabiskan seorang diri termasuk apabila mengulang kaji pelajaran.

"Mak perlu bekerja kuat untuk membesarkan saya dan kakak. Kakak pula berusia 18 tahun dan masih belajar di kolej. Saya banyak mengulang kaji pelajaran seorang diri, tetapi kalau mereka ada, saya ada bertanya kalau tidak faham.

"Memang sedih apabila teringatkan kepayahan mak yang perlu bekerja kuat selepas kematian ayah, sebab itu saya perlu belajar bersungguh-sungguh untuk membantu mak untuk hidup lebih selesa," katanya ketika ditemui selepas mengambil keputusan PT3 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mohd Khalid, Johor Bahru, hari ini.

Hadir menyaksikan penyerahan keputusan PT3 di SMK Mohd Khalid ialah Timbalan Pengarah Pendidikan Negeri Johor, Azman Adnan, Pegawai Pendidikan Daerah Johor Bahru, Shaharuddin Saari dan Pengetua SMK Mohd Khalid, Ande Noor Munawarah Bachok.

Ina Najwa dilihat menitiskan air mata dan tidak berhenti memeluk gurunya sebaik menerima keputusan cemerlang itu, memandangkan dia hanya hadir seorang diri tanpa ditemani ahli keluarga.

"Sedih juga lihat rakan lain hadir dengan ibu bapa, tetapi saya perlu kuat dan faham bahawa mak perlu bekerja dan tidak dapat menemani saya. Ini hadiah buat mak," katanya yang memulakan sesi persekolahan awal setahun kerana lahir pada 1 Januari 2003.

Di sekolah sama, seorang atlet sukan judo kebangsaan, Nur Sara Jamil, 15, turut mencapai keputusan cemerlang dalam PT3 biarpun perlu membahagikan masa mengulang kaji pelajaran dengan latihan sukan itu.

Nur Sara berkata, dia tidak mahu melebihkan mana-mana bidang kerana mahu mengejar cita-citanya menjadi akauntan dan pada masa sama mencapai impian mewakili Malaysia ke peringkat lebih tinggi.

"Keluarga menyokong minat saya dan saya sendiri bebas memilih apa yang saya gemari. Sebab itu saya mahu seimbangkan akademik dan sukan supaya boleh berjaya dalam bidang yang saya minati," kata anak bongsu dari tiga beradik itu.

Nur Sara yang mula menceburi sukan judo pada usia 13 tahun pernah memenangi pingat emas bagi kategori bawah 73 kilogram pada Kejohanan Judo Remaja Kebangsaan 2016.

Tahun ini, di Johor, seramai 50,004 calon menduduki PT3 di 284 pusat peperiksaan.

Disiarkan pada: December 14, 2017 @ 1:42pm
d