mutakhir

Pesanan ayah jadi pegangan

Oleh Malik Muhamad

PELAJAR cemerlang Pentaksiran Tingkatan Tiga, Nur Izzati Azhar, 15, dari Sekolah Menengah Kebangsaan Lela Segara, Marang hanya mampu menitiskan air mata kerana terkilan tidak dapat berkongsi kegembiraan meraih 10A bersama bapanya yang meninggal dunia pada 9 November lalu.

Nur Izzati yang menetap di Kampung Darat Pak Chan berkata, bapanya, Azhar Abdullah, 55, yang sebelum ini bertugas sebagai anggota polis di Pusat Latihan Polis, Dungun meninggal dunia akibat mengidap diabetes.

"Masih terngiang-ngiang pesanan ayah yang mahukan saya belajar bersungguh-sungguh demi masa depan dan jangan putus asa jika gagal serta perlu sentiasa menghormati ibu.

"Selain itu, arwah juga pernah berpesan supaya menjadi anak yang baik serta berilmu dunia dan akhirat, jangan sesekali meninggalkan solat.

"Memang menyedihkan kerana saya tidak dapat berkongsi kegembiraan bersama arwah kerana sebelum ini, dialah yang menghantar dan mengambil ketika saya pergi ke sekolah atau kelas tambahan," kata anak keenam daripada tujuh beradik itu.

Menurut Nur Izzati yang kini tinggal bersama ibunya, Hamiza Hamid, 50, dia banyak melakukan ulangkaji pelajaran pada waktu awal pagi.

Katanya, waktu itu adalah saat terbaik untuk memberi fokus kerana keadaannya yang sunyi dan kurang menerima gangguan.

Disiarkan pada: December 14, 2017 @ 3:47pm
d