mutakhir

Untuk teladan dan pengajaran

Oleh Mahaizura Abd Malik

Mahkamah Majistret Shah Alam, kelmarin, membenarkan tuntutan ganti rugi Tenaga Nasional Berhad (TNB) berjumlah RM88,000 terhadap New Age Resources Sdn Bhd kerana melakukan pencerobohan bilik meter TNB ketika membuat pengusikan meter elektrik di premis berkenaan, Ogos 2015.

Majistret Syajaratudur Abd Rahman membenarkan tuntutan TNB selaku plaintif bagi menuntut ganti rugi am RM8,000 serta ganti rugi teladan dan ganti rugi teruk berjumlah RM80,000 dengan kos RM5,000 terhadap kilang pengeluaran produk aluminium yang terletak di Kampung Baru Subang, Jalan TUDM di sini.

Ini adalah tuntutan kali pertama dilakukan TNB sebagai teladan dan pengajaran kerana perbuatan defendan ini bukan saja membahayakan nyawa dan harta benda defendan serta pekerjanya tetapi juga boleh menyebabkan gangguan bekalan elektrik kepada pelanggan TNB di kawasan sekitar yang akan turut membawa kerugian kepada semua pihak.

Difahamkan, sebelum ini defendan sudah membayar nilai kerugian hasil dan kos operasi TNB berjumlah RM9,204.49 pada 24 Mac 2016 selepas TNB membuktikan ada pengusikan pada pendawaian S1 di terminal alat ubah arus (CT) dengan menggunakan dawai pintasan untuk memintas arus ketiga-tiga fasa merah, kuning dan biru di premis berkenaan.

Dalam penghakimannya, TNB berjaya membuktikan defendan sudah memberikan kesusahan kepada TNB dengan mewujudkan halangan seperti beberapa pintu masuk yang dikawal ketat dan pelbagai prosedur serta membiarkan anjing berkeliaran secara bebas dalam premis kilang defendan supaya bukti pencerobohan bilik meter TNB dan pengusikan pepasangan meter dilakukan defendan tidak dapat dikesan dengan mudahnya.

Perbicaraan penuh terhadap kes tiga tuntutan ganti rugi itu diadakan pada 24 November lalu.

TNB diwakili peguam Gurmel Singh daripada Tetuan Kenth Partnership yang memfailkan saman pada 19 Mei lalu dengan mengemukakan seorang saksi sepanjang kes dibicarakan.

Sementara itu, defendan diwakili S Sri Nagavarnan daripada Tetuan Rizal, Many & Logan tanpa mengemukakan sebarang saksi untuk memberi keterangan.

Dalam penghakiman itu, mahkamah mendapati TNB berjaya menunjukkan bukti munasabah bahawa wujud halangan yang sengaja direka sepanjang laluan dari pintu masuk utama premis kilang defendan ke bilik meter TNB bertujuan melengahkan masa dan mendapatkan tempoh masa secukupnya bagi membetulkan pengusikan tidak kekal dengan hanya menarik keluar dawai pintasan berkenaan selepas mengesan kehadiran kakitangan TNB.

Susulan daripada itu, TNB terpaksa mengeluarkan perbelanjaan yang banyak untuk memasang kamera di premis itu bagi mendapatkan bukti pencerobohan dan halangan yang sengaja diwujudkan defendan.

Disiarkan pada: December 14, 2017 @ 4:40pm
d