mutakhir

Hukuman bertimpa-timpa

Oleh Zatul Iffah Zolkiply

BELUM pun tamat menjalani hukuman penjara kerana kesalahan menyimpan harta curi, seorang banduan dijatuhi hukuman penjara lima tahun dan tiga sebatan oleh Mahkamah Sesyen, Kuala Terengganu, hari ini, kerana merompak seorang lelaki dengan bersenjatakan buku lima.

Keputusan itu dibuat Hakim Rofiah Mohamad selepas tertuduh, Mohamad Safrizan Samsudin, 23, atau dikenali sebagai Jaka mengaku salah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan rompakan menggunakan senjata.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa merompak Muhammad Hafizuddin Ali, 20, dengan bersenjatakan buku lima dan mengambil wang tunai RM700 di hadapan sebuah stesen minyak di Batu Buruk pada 9 malam, 5 Ogos lalu.

Rofiah mengarahkan hukuman penjara berjalan sebaik sahaja tertuduh tamat menjalani hukuman penjara bagi kesalahan sebelum ini.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Rohaiza Abd Rahman manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Ketika ini, tertuduh sedang menjalani hukuman penjara selama satu tahun atas kesalahan mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan kerana menyimpan harta curi.

Disiarkan pada: December 14, 2017 @ 4:44pm
d