mutakhir

Asrama terbakar pun boleh dapat 7A

Oleh Khairul Najib Asarulah Khan

KEMUSNAHAN buku dan nota ringkas dalam tragedi kebakaran asrama perempuan Sekolah Tinggi Islam As Sofa (STIAS), Rembau, seminggu sebelum peperiksaan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3), tidak menghalang pelajarnya memperoleh keputusan cemerlang.

Berikutan tragedi 28 September itu, pelajar perempuan yang menghuni asrama berkenaan terpaksa meminta bantuan rakan dari sekolah lain untuk mendapatkan bahan bacaan.

Penghuni asrama itu, Siti Nabilah Hamzah, 15, antara tujuh pelajar yang mendapat keputusan cemerlang 7A daripada 71 pelajar menduduki PT3 di sekolah itu.

Menurutnya, dia dan beberapa rakannya turut mendapat bantuan kewangan daripada pelbagai pihak yang membolehkan mereka membeli buku baru.

"Saya membeli buku rujukan dan buku latihan sebagai persiapan untuk menduduki peperiksaan PT3. Malah, guru juga memberikan bahan bacaan dan membantu kami mengulangkaji.

"Alhamdulillah, kami dapat menjawab peperiksaan dengan baik walaupun dalam persiapan yang agak kelam kabut," katanya ditemui selepas mengambil keputusan PT3 di STIAS, hari ini.

Anak bongsu daripada tujuh beradik itu berkata, peristiwa kebakaran terbabit menjadi sejarah hitam buatnya.

"Ketika menduduki peperiksaan, saya mengalirkan air mata apabila terlihat bangunan asrama itu yang terletak berdekatan dengan dewan peperiksaan. Namun, semuanya sudah berlaku dan saya perlu meneruskan perjuangan untuk mencapai cita-cita menjadi doktor," katanya.

Rakannya, Siti Muna Izzah Kamaruddin, 15, tidak menjangka akan memperoleh keputusan 6A akibat masih trauma dengan tragedi itu selain buku musnah dalam kebakaran.

"Saya berpegang kepada pesan ibu supaya kuat dan tidak menjadikan musibah itu sebagai penghalang untuk berjaya sebaliknya menjadikan ia kekuatan serta perangsang buat saya.

"Guru dan rakan banyak membantu saya selain meminjamkan saya buku dan nota ringkas mereka," katanya.

Sementara itu, Guru Penolong Kanan 1 STIAS Mohd Fikri Alimi berkata, seramai 33 pelajar mendapat keputusan cemerlang iaitu lapan daripadanya memperoleh 7A, 6A (10), dan 5A (15).

Disiarkan pada: December 14, 2017 @ 5:44pm
d