mutakhir

Geng Cendol tersungkur

Oleh Safuri Kamarudin

KUMPULAN penjenayah dikenali sebagai Geng Cendol yang aktif mencuri motosikal sejak Januari lalu tumpas susulan penahan 13 ahlinya oleh polis.

Mereka yang berusia 16 hingga 30-an itu mengaku terbabit lebih 50 kes curi motosikal di sekitar daerah ini selain di Kulim dan Kuala Muda.

Ketua Polis Daerah Baling Superintendan Shariffuddin Yusof berkata, suspek ditahan pasukan Tindakan Khas Op Lejang menerusi beberapa operasi bermula 15 November hingga 4 Disember lalu.

Beliau berkata, tangkapan pertama dilakukan ketika polis melancarkan operasi kes curi motosikal di Kuala Ketil dan menahan tiga suspek termasuk seorang wanita serta merampas kereta Proton Persona.

"Hasil siasatan mendapati seorang suspek dipanggil 'Cendol' dan mengaku bersekongkol dengan ahli kumpulannya iaitu 'Geng Cendol' melakukan lebih 50 kes curi motosikal di sekitar Baling, Kupang, Kuala Ketil dan Malau, termasuk Kulim dan Kuala Muda sejak awal tahun ini," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Baling, hari ini.

Menurutnya, hasil maklumat dan siasatan terhadap ketiga-tiga suspek pihaknya melakukan operasi dan berjaya menahan 10 lagi ahli kumpulan itu.

Beliau berkata, polis turut merampas enam motosikal, 15 rangka dan empat enjin motosikal pelbagai jenis antaranya Honda EX5, Yamaha 125Z, Yamaha 135C, SYM dan Modenas Kriss daripada semua suspek.

"Modus operandi mereka melakukan curi motosikal sekitar jam 8 malam hingga 12 tengah malam dengan hanya menggunakan 'allen key' berbentuk T dan Y yang diubah suai daripada pemutar skru.

"Motosikal yang berjaya dicuri akan disimpan di rumah lelaki bergelar Cendol itu tidak melebihi 24 jam sebelum dijual kepada pembeli dengan harga antara RM250 hingga RM800 mengikut jenisnya," katanya.

Shariffuddin berkata, setiap ahli Geng Cendol mempunyai peranan masing-masing iaitu sebagai pencuri dan penjual, pemberi maklumat, pemandu kereta dan pembeli.

"Semua suspek yang ditangkap, dua daripadanya mempunyai rekod jenayah lampau dan ada antara mereka terbabit dalam penagihan dadah jenis syabu," katanya.

Menurutnya, sembilan suspek diserahkan kepada IPD Kulim, dua suspek dituduh di Mahkamah Sesyen Baling dan dua lagi diberi jaminan polis.

"Polis masih memburu saki baki Geng Cendol yang dikenal pasti dan masih aktif di daerah ini.

"Secara keseluruhan dengan tertangkapnya Geng Cendol ini, pihak Bahagian Siasatan Jenayah Baling berjaya menyelesaikan 25 kes curi motosikal di daerah ini," katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan, jika disabit kesalahan boleh dihukum penjara minimum setahun dan maksimum tujuh tahun serta denda," katanya.

Disiarkan pada: December 14, 2017 @ 6:01pm
d