mutakhir

Boboiboy ke China, India

Oleh Nabil Basaruddin

Animonsta Studios Sdn Bhd (Monsta), syarikat tempatan yang popular dengan siri animasi BoBoiBoy mencapai satu lagi kejayaan apabila menjalin kerjasama strategik dengan syarikat dari China iaitu WebTVAsia yang bertanggungjawab menguruskan pengedaran dan lokalisasi siri animasi itu.

Ketua Pegawai Eksekutif Monsta, Nizam Razak berkata, pihaknya kini mempunyai perjanjian perolehan eksklusif dengan Tencent Video, platform penstriman video dari China dengan 457 juta pelanggan setiap bulan, untuk membawa masuk BoBoiBoy ke pasaran negara itu.

Beliau berkata, semua musim siri animasi BoBoiBoy dan filem BoBoiBoy The Movie juga akan dialih bahasa kepada Bahasa Mandarin dalam usaha menarik minat penonton di China khususnya kanak-kanak.

"Impian kami selama ini bukan sahaja untuk mengeksport produksi animasi ini, tetapi untuk mempamerkan budaya Malaysia yang unik.

"Kini ia semakin menjadi realiti apabila berjuta-juta orang di seluruh dunia bakal menikmati siri animasi BoBoiBoy dengan identiti Malaysia," katanya pada majlis menandatangani kerjasama strategik antara Monsta dengan WebTVAsia di KualaLumpur, hari ini.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) Datuk Yasmin Mahmood, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan WebTVAsia Fred Chong dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan WebTVAsia China Lee Hua Ling.

Pada masa sama, Monsta turut mengumumkan perjanjian perolehan bersama Disney Channel India untuk menayangkan siri animasi dan filemnya ke negara sub-benua India seperti Bangladesh, Bhutan, India, Maldives, Nepal, Pakistan, Seychelles dan Sri Lanka.

Menerusi usaha sama itu, BoBoiBoy akan ditayangkan dalam empat bahasa iaitu Hindi, Tamil, Telegu dan Bahasa Inggeris.

Disiarkan pada: December 14, 2017 @ 6:04pm
d