mutakhir

Kawan hantar dadah ke tempat kerja

Oleh Noor Azurin Mohd Sharif

GADIS berusia 28 tahun antara 101 penagih ditahan dalam Op Sarang Bersepadu selama 10 jam di port penagihan di kawasan ladang kelapa sawit di belakang Penjara Sungai Udang dan bekas tapak pelupusan sampah Krubong, hari ini.

Ketika ditemui gadis berkenaan yang enggan dikenali berasal dari Masjid Tanah, Alor Gajah mendakwa dia mula mengambil dadah tiga tahun lalu selepas terpengaruh dengan rakan.

Risau pembabitannya dalam aktiviti penyalahgunaan dadah diketahui keluarga, dia cuba berhenti dengan mengikuti program pemulihan dikendalikan Agensi Antidadah Kebangsaan (ADDK).

"Tapi sejak lima bulan lalu saya kembali ambil dadah malah rakan sanggup hantar bekalan ke kedai tempat saya bekerja. Duit gaji semua dihabiskan untuk beli dadah semata-mata mahu lepaskan gian.

"Tadi saya datang ke sini (Sungai Udang) untuk lepaskan gian bersama rakan tak sangka pula kena tahan oleh polis," katanya.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata, operasi itu turut dibantu pegawai dan anggota AADK Melaka.

Beliau berkata, kesemua suspek ditahan adalah warga tempatan berusia 18 hingga 60 tahun, hasil semakan dijalankan lapan individu mempunyai rekod lampau dan waran tangkap atas pelbagai kesalahan.

"Hasil pemeriksaan dijalankan pula kami merampas dadah dipercayai heroin seberat 20 gram dan syabu 5.3 gram dianggarkan bernilai RM800 daripada seorang penagih berusia 20-an.

"Individu ditahan ini adalah penagih tegar dan tidak ada pekerjaan tetap, mereka menjadikan kedua-dua lokasi terbabit sebagai port untuk melepaskan gian walaupun sedar pihak berkuasa kerap melakukan serbuan," katanya.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 39 B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, Seksyen 12(2) ADB 1952, Seksyen 15(1)(a) ADB 1952 dan Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan & Pemulihan) 1983.

Disiarkan pada: December 14, 2017 @ 6:58pm
d