mutakhir

TNB beri sumbangan bantuan persekolahan

Oleh Hafizudin Mohd Safar

SERAMAI 200 murid berusia tujuh hingga 12 tahun menerima bantuan persekolahan sumbangan Tenaga Nasional Berhad (TNB) menerusi Program Kembali Ke Sekolah, hari ini.

Majlis diadakan di Pusat Khidmat Wakil Parlimen Arau di Kubang Gajah di sini, turut dijayakan Pergerakan Wanita UMNO Arau.

Pengurus Besar Kanan (Hal Ehwal Korporat) TNB, Datuk Ir Mohd Aminuddin Mohd Amin berkata, sumbangan itu berupa sepasang uniform baju dan kasut sekolah serta beg diagihkan dengan menggunakan peruntukan khas TNB.

Katanya, sumbangan terbabit diberikan kepada semua wakil masyarakat tidak mengira agama dan bangsa bagi kawasan Parlimen Arau dan majlis disempurnakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim.

"Sebelum ini TNB menggunakan agihan daripada zakat perniagaan untuk menyampaikan bantuan persekolahan, namun terhad kepada asnaf kalangan umat Islam.

"Namun kali ini, kita membuat keputusan menggunakan peruntukan khas yang bukan daripada agihan zakat supaya bantuan terbabit boleh diberikan dan dinikmati oleh penerima kalangan pelbagai kaum dan agama yang kurang berkemampuan," katanya ditemui pada program itu.

Hadir sama Ketua Wanita UMNO Arau Datin Seri Datuk Shamsiah Md Yasin.

Mohd Aminuddin berkata, pihaknya berharap bantuan itu dapat meringankan beban keluarga berpendapatan rendah untuk menyediakan keperluan sekolah terutama yang mempunyai anak bersekolah yang ramai.

Katanya, pihaknya juga akan menyerahkan bantuan persekolahan kepada 10,000 penerima di51 Kawasan Parlimen di seluruh negara untuk tahun ini.

Sementara itu, Shahidan berkata, pihaknya dengan sokongan pihak swasta seperti TNB mengadakan program penyampaian sumbangan bantuan persekolahan saban tahun dan tidak hanya menjelang musim pilihan raya.

"Kita buat program penyampaian bantuan persekolahan ini setiap tahun, justeru tomahan pihak tertentu bahawa program begini adalah kerana pilihan raya sudah dekat adalah tidak benar dan ini adalah tanggungjawab pihak kerajaan dan swasta untuk membantu rakyat yang kurang berkemampuan," katanya.

Disiarkan pada: December 14, 2017 @ 8:48pm
d