mutakhir

Cuaca cabaran utama Qobin

Oleh Nursyahirah Marzuki

SUHU sejuk melampau dan keadaan sentiasa berangin antara cabaran yang bakal ditempuhi penjelajah negara, Muhammad Muqharabbin Mokhtarrudin dalam menamatkan misi penjelajahan ke titik kosong darjah di Kutub Selatan untuk bergelar Penjelajah Grand Slam.

Muhammad Muqharabbin atau Qobin, 36, berkata, cuaca yang sukar diramal bakal menjadi cabaran utama dalam misi berkenaan, selain perlu menaiki ski sejauh 25 kilometer (km) sehari.

"Kelajuan angin antara 20 hingga 30 kilometer sejam (km/jam) sudah boleh menjejaskan penjelajahan malah, sekiranya cuaca buruk melanda misi terpaksa di tangguh kira-kira seminggu atau lebih.

"Bagaimanapun, saya berharap seluruh rakyat Malaysia mendoakan kejayaan saya dalam menamatkan misi penjelajahan ini sekali gus menyumbang jasa kepada negara," katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang hari ini.

Muhammad Muqharabbin merangkap Presiden Kelab Eksplorasi 7 Benua (KE7B berkata, beliau berlepas ke Perancis hari ini dan transit di negara itu sebelum ke Punta Arenas, Chile bagi menjayakan misi berkenaan.

"Tiada apa yang saya harapkan, cuma doa dan sokongan daripada seluruh rakyat Malaysia supaya misi ini dapat ditamatkan dengan berbekalkan latihan sebelum ini.

"Sekiranya berjaya, saya akan menjadi rakyat Malaysia pertama, warga Asia Tenggara kedua dan umat Islam ketiga selain 70 individu terawal menamatkan misi yang diiktiraf badan eksplorasi sebagai Penjelajah Grand Slam," katanya.

Menurutnya, ekspedisi sebenar akan bermula pada 19 Disember ini dan dijangka berakhir pada 27 Disember yang mengambil masa sembilan hari.

"Saya akan berlepas dari Union Glacier, Antartika dengan menaiki helikopter menuju ke titik satu darjah bagi memulakan ekspedisi berski ke titik kosong darjah Kutub Selatan sejauh 120 km," katanya.

Pengiktirafan sebagai Penjelajah Grand Slam diberikan apabila seseorang itu menamatkan siri pendakian di tujuh puncak tertinggi di tujuh benua di dunia, selain penjelajahan ke Kutub Utara dan Kutub Selatan.

Sebelum ini, Qobin berjaya menamatkan dua misi yang juga antara syarat untuk mendapatkan gelaran berkenaan iaitu menawan tujuh puncak tertinggi dunia di tujuh benua (2004-2010) dan berski di Kutub Utara pada April 2017.

Disiarkan pada: December 14, 2017 @ 8:58pm
d