mutakhir

Masih menunggu laporan bedah siasat

Oleh Ayusliza Azizan

BELUM ada tangkapan dilakukan setakat ini dan polis masih menjalankan siasatan menyeluruh bagi mengenalpasti punca kejadian kes bunuh dan bakar yang mengorbankan empat sekeluarga di Tanjung Sepat, Kuala Langat, pagi semalam.

Siasatan turut dilakukan termasuk kemungkinan mangsa mengenali mereka yang terbabit dalam kejadian itu.

Ketua Polis Selangor Datuk Mazlan Mansor berkata, pihaknya percaya dapat menyelesaikan kes itu dalam masa terdekat.

"Siasatan masih dijalankan dalam pelbagai aspek dan setakat ini tiada tangkapan dilakukan.

"Kita yakin dapat menyelesaikan kes ini dalam masa terdekat," katanya ditemui selepas menghadiri Majlis Penghargaan Pencegahan Kecurian Kabel Telekom Malaysia Berhad (TM) di Shah Alam hari ini.

Mazlan berkata, pihaknya juga masih menunggu keputusan laporan bedah siasat untuk mengenal pasti sama ada mangsa mati dibunuh sebelum kebakaran atau sebaliknya.

Dalam kejadian kira-kira 5 pagi semalam, mangsa Lim Mai Shak, 68, Chia Tee Nang, 73, dan dua cucu mereka iaitu Chia Yuan Bin dan Ryan Chia Zeng Xi berusia tiga dan 10 tahun maut dalam kejadian itu.

Pemeriksaan mendapati tiga daripada empat mangsa yang rentung mempunyai kesan tetakan senjata tajam pada tubuh mereka.

Seorang lagi cucu mangsa berusia 12 tahun yang juga abang kepada Ryan Chia, terselamat kerana menyorok di dalam bilik air sebelum meloloskan diri ke luar rumah.

Berita berkaitan

Dua budak lelaki antara 4 terbunuh

Mangsa dibunuh sebelum rumah dibakar

Disiarkan pada: December 14, 2017 @ 9:01pm
d