mutakhir

Tahniah semua...

Oleh Nurul Nadira Shaari

HARIAN Metro (HM) memenangi beberapa kategori pada majlis Anugerah Media Pahang DRB-HICOM 2017 malam ini di Kuantan.

Wartawan Mohamad Azim Fitri Abd Aziz memenangi tempat kedua bagi kategori Laporan Berita Bahasa Melayu dan tempat ketiga Laporan Berita Jenayah.

Manakala wartawan Raja Norain Hidayah Raja Abdul Aziz mengungguli tempat kedua kategori Penulisan Rencana Bahasa Melayu dan Ketua Biro HM Pahang Mohd Fauzi Abdullah tempat ketiga bagi kategori Laporan Berita Sukan serta wartawan sambilan Ainal Marhaton Abd Ghani tempat ketiga Penulisan Rencana Bahasa Melayu.

Sementara itu, wartawan Berita Harian (BH) Amin Ridzuan Ishak memenangi tempat pertama kategori Laporan Berita Bahasa Melayu manakala wartawan New Straits Times (NST) T N Alagesh pula memenangi tempat pertama bagi kategori Laporan Berita Sukan dan tempat ketiga kategori Laporan Berita Bahasa Inggeris

Anugerah berkenaan disampaikan Menteri Besar Datuk Seri Adnan Yaakob dan Ketua Komunikasi Strategi Kumpulan DRB Hicom, Mahmood Abdul Razak.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal FELDA negeri Datuk Abu Bakar Harun, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sumber Manusia dan Tugas-tugas Khas negeri Datuk Norol Azali Sulaiman.

Kordinator foto NSTP Pahang, Zulkepli Osman pula memenangi tempat ketiga kategori Fotografi Berita manakala jurufoto NSTP, Muhammad Farizul Hafiz Awang mendapat tempat ketiga kategori Fotografi Berita Sukan.

Disiarkan pada: December 14, 2017 @ 11:27pm
d