mutakhir

AirAsia taja stadium MBPJ

Oleh Siti Fatimah Nasir

Petaling Jaya: Syarikat penerbangan tambang rendah, AirAsia Berhad (AirAsia) menaja RM4 juta untuk tempoh lima tahun bagi penjenamaan dan menaik taraf stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) di Kelana Jaya.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Tan Sri Tony Fernandes berkata, cadangan kerja menaik taraf stadium itu dijadual bermula selepas 25 Disember ini.

“Saya melihat Petaling Jaya sebagai satu pusat tumpuan di Selangor dan kami berbesar hati menjalinkan kerjasama bersama MBPJ menaik taraf stadium ini yang akan dijadikan sebagai tuan rumah bagi Kelab Bola Sepak Petaling Jaya Rangers (PJ Rangers).

“Untuk itu, kami akan menaik taraf padang, bilik persalinan, membaik pulih tempat duduk pemain dan kerja mengecat stadium,” katanya pada sidang media selepas Majlis Menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) antara MBPJ dan AirAsia di Ibu Pejabat MBPJ, semalam.

Hadir sama, Datuk Bandar MBPJ Datuk Mohd Azizi Mohd Zain, Timbalan Datuk Bandar MBPJ Johary Anuar serta Timbalan Presiden PJ Rangers Simon Lim Swee Teck.

Tony berkata, perjanjian itu adalah kali pertama dilaksanakan syarikatnya bersama pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi mewujudkan stadium bertaraf dunia di Petaling Jaya.

“AirAsia dalam perancangan mewujudkan perkhidmatan bas dari Petaling Jaya ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) selepas selesai kerja menaik taraf stadium.

“Kami mahu penduduk Petaling Jaya menikmati perkhidmatan bas ini dan pergi ke lapangan terbang dengan mudah,” katanya.

Sementara itu, Mohd Azizi berkata, cadangan penjenamaan semula stadium akan menjadikan Petaling Jaya sebagai destinasi sukan di negeri Selangor.

“Dengan menaik taraf stadium, ia memberi peluang penduduk Petaling Jaya menikmati kemudahan sukan bertaraf antarabangsa.

“Stadium MBPJ sinonim dengan penganjuran bola sepak Liga Malaysia,” katanya.

Katanya, syarikat penerbangan itu bersetuju menaja program komuniti termasuk liga bola sepak Piala Datuk Bandar, PJ Rangers bawah 20 tahun dan program komuniti MBPJ dan Ahli Majlis MBPJ.

Disiarkan pada: December 15, 2017 @ 2:56am
d