mutakhir

Along ugut bakar rumah

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

Kuala Lumpur: Seorang suri rumah hidup dalam ketakutan selepas diugut beberapa pemberi pinjaman wang atau along kerana tindakan suaminya meminjam wang daripada pihak terbabit.

Malah, rumahnya di Jinjang Utara disimbah dengan cat merah oleh along yang turut mengugut mahu membakar kediamannya sekiranya tidak membayar pinjaman suaminya.

Mangsa, Yap Yook Chu, 59, berkata, suaminya berusia 60 tahun ada memaklumkan kepada anak mereka bahawa dia berhutang lebih RM10,000 dengan lebih 10 along sebelum melarikan diri dari rumah pada 18 November lalu.

“Suami saya yang bekerja sebagai pemandu van mempunyai tabiat bermain judi dan meminjam wang daripada along hingga menyebabkan kami turut terpaksa membantunya melangsaikan hutang dianggarkan lebih RM20,000 sejak 2006.

“Selepas dia menghilangkan diri, ada beberapa along menghubungi saya dan menuntut saya menjelaskan hutang berkenaan menyebabkan saya terpaksa membuat kenyataan di akhbar mengenai perkara itu selain laporan di Balai Polis Jinjang kerana tidak tahan dengan gangguan mereka,” katanya.

Yap berkata, ketika dia berada di rumahnya, dia terkejut apabila dimaklumkan cucunya bahawa ada seorang lelaki menyimbah cat merah di depan pintu rumah mereka jam 2 petang, Selasa lalu.

“Selepas menyimbah cat terbabit, lelaki itu turut meninggalkan nota yang meminta saya menghubungi satu nombor telefon.

“Saya dimaklumkan abang ipar, Kwong Yeek Peng, 60, bahawa dia turut menerima panggilan daripada along yang memintanya melangsaikan hutang suami dan mengugut menyimbah cat di rumah dan kereta miliknya jika gagal berbuat demikian.

“Saya merayu kepada individu yang meminjamkan wang kepada suami saya supaya tidak menganggu keluarga kami memandangkan kami tidak lagi berhubungan dengan suami sejak dia menghilangkan diri dan kali terakhir berkomunikasi dengannya adalah pada 25 November lalu,” katanya ketika sidang media di Biro Pengaduan Awam MCA, semalam.

Sementara itu, Pengerusi Biro Perkhidmatan Awam dan Aduan MCA Datuk Seri Michael Chong berkata, pihaknya menerima sebanyak 492 laporan membabitkan pinjaman wang daripada along berjumlah RM54 juta pada tahun ini bagi tempoh dari Januari hingga semalam.

Disiarkan pada: December 15, 2017 @ 2:58am
d